BAB 4
“RUMAH sebelah ni dah ada orang nak beli,” ucap Nadhrah ketika kami berdua sedang menonton televisyen. Malam-malam macam ni selalunya memang aku layan drama Korea yang mana menarik perhatian. Drama Flowers of Evil ni pun Azie yang suruh aku tengok memandangkan aku suka lakonan Lee Jun Ki.
“Ya ke?”
“A’ah. Semalam aku sembang dengan Mak Cik Kiah. Nampak dia duk kemas rumah tu sebab nak bawak keluar semua perabot. Senang nanti orang tu nak kemas rumah.”
“Ohh… eloklah ada jiran baru. Berseri sikit taman kita ni.”
Nadhrah mengangguk sebelum dia memandang aku lama.
“Tak ada benda menarik ke yang jadi dekat kampung? Kau senyap je sejak semalam. Tak best ke balik kampung?”
Aku tersengih bila teringat Mak Long. Boleh pula terlupa nak bercerita pasal hajat Mak Long dekat Nadhrah. Semalam lepas sampai aje dekat rumah ni, aku terus tidur awal.Nadhrah pun tak mengacau aku bila nampak aku lemau semacam. Lemau tu ada dua sebab. Satu sebab penat dan satu lagi sebab dalam kereta, aku menangis teruk. Konon tak nak menangis sebab Eijaz lagi tapi akhirnya menangis juga. Kata nak kuat tapi bila Eijaz tak sudi, hati yang kuat tu mulalah jadi rapuh balik.
“Mak Long tanya pasal kau. Dia rindu…” Sengaja aku leretkan perkataan rindu itu.
“Aku pun rindu Mak Long. Dah lama tak jumpa dia.”
“Tapi dia bukan rindu biasa-biasa tau. Dia rindu dekat bakal menantu dia.” Aku angkat kening berulang kali sebelum ketawa bila tengok muka Nadhrah pucat. Keropok lekor yang nak disuap ke dalam mulutnya terus diletak ke tepi sebelum dia duduk di sebelah aku. Siap pegang bahu aku lagi supaya duduk menghadap dia.
“Rindu bakal menantu? Anak Mak Long yang mana nak kahwin ni?” Muka Nadhrah yang nampak cemas tu buat aku pelik sebenarnya. Dah kenapa mak cik ni nak panik segala?
“Iye. Kau kenal kan anak dia yang Aariz tu?”
Laju Nadhrah angguk kepala. Aku tahu dia kenal dengan abang sepupu aku tu sebab kalau Mak Long nak kirim apa-apa dekat aku, memang Abang Aariz yang akan hantar memandangkan pejabat dia dekat dengan rumah aku. Dan bila aku tak ada dekat rumah untuk ambil barang tu, selalunya Nadhrah yang akan tolong ambilkan.
“Dia nak kenenkan kau dengan Abang Riz la.”
“Huh?” Dahi dia berkerut seribu.
“Dia nak kenenkan kau dengan Abang Riz. Mak Long aku tu nak kau jadi menantu dia. Nak tak?” Sekali lagi aku ulang ayat yang sama. Lebih panjang dan lebih tepat ke isi utamanya.
Terdiam terus Nadhrah sebelum dia bersandar di sofa. Ni terkejut sebab apa? Sebab Mak Long nak dia jadi menantu ke sebab Abang Aariz?
“Kau dah kenapa?”
“Sebenarnya…” Nadhrah memandang aku sebelum dia tersenyum simpul.“…aku pun suka dekat Abang Riz tu. Macam crush la. Bila tengok muka dia tu, rasa macam ada rama-rama dalam perut.”
“Laaa ya ke?” Aku memang terkejut. Tak sangka pun sebenarnya yang Nadhrah suka dekat Abang Aariz. Ingatkan si Nadhrah ni hati kebal sangat sampaikan tak ada lelaki yang boleh masuk dalam hati dia tu. Rupanya Abang Aariz dah termasuk dalam hati kawan baik aku ni. Patutlah bukan main seronok bila aku suruh dia yang tolong ambilkan barang yang dikirimkan oleh Mak Long selama ni.
Nadhrah mengangguk dengan muka merah. Siap mencuit-cuit lengan aku.
“Dahlah tu! Menyampah aku tengok. Oh lagi satu, aku lupa nak cakap Abang Riz yang beli keropok lekor tu. Macam mana dia tahu kau suka keropok lekor?”
“Hmm… aku pernah cakap kut dulu. Masa dia hantar kek yang Mak Long buatkan tu.” Nadhrah masih lagi dengan senyum simpulnya sambil mencapai keropok lekor dan dimasukkan ke dalam mulutnya. Dikunyah dengan muka yang bahagia.
“Amboi, siap bersembang pasal makanan favourite lagi. Ataupun kau dengan dia memang dah lama bercinta tapi sengaja tak nak bagitahu aku?”
“Mana adalah! Aku kalau bercinta dengan dia, kaulah orang pertama yang aku bagitahu tau.”
Aku tersengih. Sengaja nak mengusik Nadhrah. Tahu yang dia takkan rahsiakan hubungan dia daripada pengetahuan aku. Lagipun kalau Nadhrah tak bercerita, aku yakin yang Abang Aariz akan beritahu aku sendiri.
“Tu je ke cerita menarik yang jadi? Yang lain tak ada?”
Aku diam. Sedang berfikir sama ada nak bercerita pada Nadhrah mengenai Eijaz dan Maya yang dah kembali muncul tanpa Jannah di sisi.
“Bila dah start mengelamun tu, confirm ada cerita lain. Cepat cakap!”
“Hmm…” Aku bermain dengan hujung baju. “… aku jumpa dengan Eijaz. Dia dah balik sini.”
Terus aku tekup telinga bila Nadhrah menjerit. Mata dia siap terbeliak lagi sebelum dia menepuk-nepuk peha aku. Menyuruh aku untuk terus menyambung cerita.
“Lepas tu apa jadi? Eh kejap, Jannah ada sekali ke?”
Aku menggeleng. Isi pipi digigit perlahan
“Dia dah cerai dengan Jannah.”
“Ya Allah! Serius la?” Mata Nadhrah kembali membulat dengan mulut ternganga luas. Sesiapa sahaja yang kenal Eijaz dan Jannah mesti akan bagi reaksi muka yang sama. Aku pasti kalau kawan-kawan satu universiti aku dulu tahu apa yang dah jadi mesti dia orang pun akan terkejut sama macam Nadhrah.
“Serius la! Takkanlah aku nak menipu pasal cerai ni. Aku pun terkejut masa dengar yang Eijaz dengan Jannah dah bercerai. Dia orang siap ada anak lagi tau. Comel je budak tu.”
Nadhrah terdiam. Aku nampak macam dia berfikir seketika sebelum dia kembali memandang aku.
“Kiranya Eijaz tu duda la kan?”
Aku mengangguk. Dah nama pun bercerai, mestilah dah jadi duda. Lainlah kalau Eijaz tu dah kahwin lain. Jadilah suami orang balik.
“Kau ada peluang la nak rapat dengan dia balik!” Nadhrah terus cubit pipi aku sambil tersenyum lebar. Menampakkan semua gigi dia yang tersusun cantik.
“Jangan berangan. Tak ada apa yang akan berubah. Aku ni cuma layak jadi kawan dia,” balasku perlahan. Mata kembali ditancapkan ke arah televisyen. Cuba mengelak daripada Nadhrah membaca isi hati aku yang sebenarnya. Dia sendiri tahu betapa pentingnya Eijaz dalam hidup aku suatu ketika dulu tanpa perlu aku bercerita lebih. Pada mulanya, aku terkejut juga macam mana dia boleh tahu yang aku sebenarnya sukakan Eijaz. Tapi dengan tenangnya Nadhrah cakap, mata aku tu dah tunjuk semua isi hati aku.
“Dia dah ada pengganti. Nama dia Sara…”
“Macam mana kau tahu?”
“Dia yang cakap. Dia kata Sara yang tolong jaga anak dia masa dia kena pergi kerja. Dia siap cakap yang kalau takde Sara tu, dia tak tahu nak buat apa. Kau nampak tak betapa pentingnya Sara tu dalam hidup dia. Mungkin dia nak tunggu hidup dia stabil dulu kut dekat sini, baru dia nak Sara datang sini.”
Nadhrah gigit bibir. Memandang aku dengan pandangan kasihan dan dia mencapai tangan aku sebelum diusap lembut. Menyalurkan kekuatan ke dalam diri aku.
“Jangan pandang aku macam tu. Aku okey jelah.”
“Serius ke kau okey? Kalau tak okey, bagitahu aku. Jangan semua benda nak simpan sendiri.”
Aku mengukir senyuman paling manis untuk Nadhrah. Biar dia tahu yang Dhia Aisyah ni seorang yang kuat. Memang hati aku kecewa, menipu tak pun tak ada gunaya tapi aku sedar diri. Aku tak rasa aku layak untuk berharap dekat Eija kerana dari dulu sampai sekarang, Eijaz cuma anggap aku sebagai kawan. Mungkin dah tiba masanya aku pun buat benda yang sama.
Eijaz cuma boleh jadi kawan. Tak lebih, tak kurang.
No comments:
Post a Comment
♥ Thanks for the comments.