Wednesday, January 27, 2021

Terima Kasih Cinta Bab 3



BAB 3

SEJAK dari tadi aku perasan yang pandangan mata Eijaz asyik menghala ke arah aku walaupun ketika itu dia sedang berbual dengan kawan-kawan sekampungnya yang lain. Sesekali aku juga mengerling ke arah dia tapi cepat-cepat aku kawal diri. Beringat supaya tak berlebihan. Risau pisang berbuah dua kali. Yang kecewanya nanti aku, bukannya dia. 

“Dhia…”

Aku toleh ke kanan dan agak terkejut bila tengok dia dah berdiri tegak di sebelah aku. Siap menghulurkan pinggan kertas yang berisi kuih kole kacang.

“Kuih favourite kau ni kan? Kole kacang…”

Lama aku pandang pinggan kertas di tangan Eijaz. Tergamam sebenarnya bila dia ingat lagi kuih kegemaran aku dan perasaan terharu mula menyelinap masuk ke dalam hati. Teringat kenangan dulu di mana dia selalu belikan aku kole kacang sebelum datang ke sekolah memandangkan warung Cik Som dulu dekat dengan rumahnya.

“Ke kau dah tak suka kole kacang?”

“Eh tak, aku suka!” Cepat-cepat aku ambil pinggan tersebut dari tangan Eijaz dan letak di atas meja bila dia dah macam nak bawa lari pinggan tu ke tempat lain. Perlahan-lahan aku masuk juga sepotong kecil kuih masuk ke dalam mulut walaupun perut dah mula rasa sebu.

“Maya mana?”

Aku tercari-cari juga budak comel tu tadi tapi bila tengok dia seronok bermain dengan budak-budak lain, tak sampai hati pula nak kacau. Seronok sangat dapat bermain dengan kanak-kanak seusia dia.

“Dia tengah main dengan cucu Mak Long. Suka sangat tu. Aku dah ajak balik pun dia tak nak.”

“Ohh…” Suasana kembali sunyi. Aku hanya dapat mendengar hembusan nafas Eijaz yang teratur dan keadaan ni buat aku rasa canggung. Kalau dulu, ada aje tapi topik yang nak dibualkan tapi sekarang ni otak aku kosong.  Akhirnya aku bermain dengan hujung tudung untuk kurangkan rasa berdebar. 

Teringat kembali zaman kecil kami berdua dulu. Kalau pergi mana-mana mesti berdua  tapi bila dah makin remaja, aku pun dah semakin malu dengan Eijaz. Masuk universiti lagilah aku bertambah malu kerana perasaan suka aku pada dia semakin membuak-buak. Cuma bila Eijaz tak tahu perasaan aku, dia layan aku macam biasa. Siap disuruhnya aku pergi konvo dia dan disuruhnya aku menangkap gambar dia. Jannah boleh tersuka Eijaz dulu tu pun sebab selalu nampak Eijaz dengan aku walaupun pada mulanya Jannah ingat aku ni teman wanita Eijaz. Bila dah tahu hal sebenar, bukan main bahagia lagi kawan aku tu. 

So… kau mesti dah dengar pasal aku dengan Jannah kan?” Soalan yang keluar dari mulut Eijaz buat aku terus duduk tegak. Hilang terus rasa sebu perut aku tadi. Spontan aku memandang dia dengan perasaan bersalah. Bersalah kerana tak ada bersama dia ketika dia perlukan kawan.

“Mak Long baru bagitahu tadi.” Aku tarik nafas panjang. “Sorry sebab aku baru tahu. Rasa bersalah pulak sebab tak ada masa kau perlukan kawan.”

Eijaz hanya ketawa kecil sebelum menggeleng. 

Don’t worry, Dhia. Aku memang tak cakap dekat orang pun. Mama aku tahu pun masa dia pergi sana lawat aku.”

Aku kerling Eijaz. Cuba mencari riak sedih di wajah dia tapi dia nampak tenang aje. Hanya merenung jauh ke depan sambil bermain dengan songkoknya di tangan.

“Aku pun baru tahu Jannah dah balik sini. Dah lama aku tak jumpa dia. Dia pun dah lama tak contact aku.”

Sejak Jannah kahwin dengan Eijaz, kawan baik aku tu seolah-olah sengaja menjauhkan diri. Aku telefon, dia tak angkat. Aku hantar Whatsapp pun dia tak balas. Aku pernah cuba hantar emel sebab risau kut-kut dia dah tukar nombor tapi tetap tak berjawab. Ada juga aku cuba add facebook dia tapi sampai sudah dia tak approve. Akhirnya aku putus asa. Kalau dia nak cari aku, dia tahu nak cari dekat mana. Nombor telefon aku pun nombor yang sama. Tak pernah tukar pun.

Manakala dengan Eijaz pula, memang aku yang sengaja menjauhkan diri. Takut dikata mengganggu suami orang. Lagipun aku kenal Jannah tu macam mana orangnya. Cemburu dia boleh tahan kuat. Dulu pernahlah aku hantar Whatsapp dekat Eijaz masa dia orang baru-baru bertunang. Itu pun aku cuma tanya Eijaz balik kampung ke tak hujung minggu tu. Entah macam mana Jannah dapat tahu, dia siap tegur aku lagi dan bagi amaran supaya aku berhenti berhubung dengan Eijaz. Memang aku terasa juga dengan kata-kata Jannah tapi memandangkan kedudukan dia sebagai tunang Eijaz ketika itu, aku hormat apa dia nak. Walaupun Eijaz ada tanya kenapa aku berubah, aku hanya diamkan diri. Malas nak bercerita lebih-lebih.

“Apa jadi, Eijaz?” 

Aku tak tahu sama ada aku ada hak untuk bertanya tapi aku nak tahu kisah sebenar dari mulut dia. Soal cerai ni bukan benda kecil. Aku tak rasa senang-senang aje Eijaz nak lepaskan Jannah. Mesti ada benda yang jadi, sama ada dari pihak Eijaz ataupun dari pihak Jannah. 

“Entahlah Dhia. Aku pun tak tahu apa yang kurang. Aku happy, dia happy tapi lama-lama aku tak tahu apa jadi. Tiba-tiba dia kata dia dah tak sayangkan aku. Dia nak cerai padahal masa tu Maya tu kecil lagi.”

Aku kemam bibir. Ya Allah!

“Maya ada jumpa Maya lepas kau orang bercerai?”

Eijaz mengangguk. “Sebelum dia balik Malaysia, dia ada jumpa Maya. Tu pun empat tahun lepas.”

“Kau tak ada contact dia?”

“Macam mana nak contact kalau dia tukar nombor telefon? Mak ayah dia pun kata Jannah dah lama tak balik. Bila dia balik pun, dia tak pernah sebut pasal aku dengan Maya. Dia buat macam kami tak wujud, Dhia. Dia cuma cakap dekat mak ayah dia yang dia dah bercerai dengan aku. Dia langsung tak sebut pasal Maya. Lagipun sekarang ni dia dah kahwin lain. Biarlah Maya hidup dengan aku je.”

“Macam mana kau tahu dia tak sebut pasal Maya?”

Eijaz tergelak sinis. “Mak Jannah yang cakap. Dia kata tak sangka kami boleh bercerai. Tak dapat dia nak merasa main dengan cucu.”

Aku terdiam. Hati sedih mengenangkan nasib Maya. Aku hairan kenapa Jannah nak rahsiakan pasal Maya? Bercerai tu bukannya bermakna hubungan dia dan Maya pun putus sekali. Dia yang mengandung dan melahirkan Maya kut.

“Kenapa kau tak balik sini je?”

“Sebab aku nak ubat sedih aku dulu. Kalau aku balik awal, aku kena hadap ramai orang. Kau tahulah orang kampung, mesti tanya banyak soalan.”

Aku mengangguk. Faham sangat dengan apa yang dimaksudkan oleh Eijaz. Samalah keadaan dia dengan aku. Yang bezanya aku ditanya soal jodoh, dan dia mungkin akan ditanya soal perceraiannya.

“Lagipun company aku kerja tu masih perlukan khidmat aku dekat sana. Dah cukup ambil pengalaman dekat sana, barulah aku minta transfer sini,” sambung Eijaz lagi bila aku hanya diam. 

“Gaji mesti banyak kan?”

Eijaz tersenyum. “Cukuplah untuk pinang anak orang,” ucapnya penuh bersahaja. Tapi tiba-tiba hati jadi tak sedap. Apa maksudnya tu? Eijaz dah nak kahwin lain ke?

“Pandai jugak Maya cakap Melayu,” Cepat-cepat aku ubah topik lain. Tak selesa nak bercakap soal kahwin dengan Eijaz. 

“Kawasan tempat aku duduk tu ramai orang Malaysia. Dia orang semua cakap Bahasa Melayu dengan dia.” 

“Ohh… tapi aku kagumlah dengan kau. Kau boleh jaga Maya sorang-sorang. Dahlah dekat negara orang pulak tu.”

Eijaz tersenyum. “Alhamdulillah ada orang yang tolong juga. Sara yang paling banyak tolong jaga Maya bila aku kerja. Kalau tak ada dia, tak tahulah aku nak buat apa.”

Sara?

Dada kembali terasa sempit. Entah kenapa hati aku terasa sakit bila tengok Eijaz tersenyum lebar masa sebut nama Sara. Niat di hati ingin bertanya siapa Sara tapi takut dituduh busybody pula. Akhirnya aku diam aje sambil memasang telinga luas-luas. Manalah tahu nanti Eijaz sendiri yang memberitahu siapa Sara tu tapi malangnya Eijaz langsung tak sebut apa-apa lagi.

“Eloklah macam tu,” balasku perlahan sambil tersenyum tawar. Tiba-tiba malam yang sejuk ni mula terasa bahang panasnya. 

“Kau dah ada yang punya ke, Dhia?” Soalan mengejut dari Eijaz buat aku terkedu. 

“Kenapa tanya? Kau nak kenenkan aku dengan sesiapa ke?” Aku buat-buat ketawa sambil bangun dari duduk. Sempat aku ambil pinggan yang berisi kole kacang tu.

“Saja la tanya. Manalah tahu aku dapat makan nasi minyak kenduri kahwin kau lepas ni.”

Aku hanya tersenyum seraya menggeleng kecil. “Tak jumpa yang sesuai lagi. Kau doakanlah aku cepat jodoh ye. Okeylah, aku masuk dulu. Mengantuk…”

“Selamat malam, Dhia.”

“Selamat malam, Eijaz.”




NANTI selalulah balik kampung.” Opah memeluk aku erat. Siap ditepuk-tepuk lembut belakang badanku. 

“Opah jangan risau. Insya-Allah ada masa Dhia balik kampung. Mana boleh kalau tak jumpa opah lama-lama.” Aku cium pipi kedua-dua belah pipi opah dan diakhiri dengan ciuman di dahi. 

Opah tersenyum sebelum Mak Long pula memeluk aku. 

Drive elok-elok. Jangan bawak laju-laju.”

Aku tersengih. Mak Long ni macam tahu-tahu aje aku jenis bawa laju. Tapi bukanlah laju sangat. Tak lebih dari had laju pun. Kalau laju-laju sangat, melayanglah kereta comel aku tu. 

“Insya-Allah. Ada apa-apa ke Mak Long nak kirim dekat bakal menantu Mak Long tu?”

Sempat aku kerling Abang Aariz yang berdiri di sebelah Mak Long. Dan bila abang sepupuku itu terus menunduk sebelum meminta izin untuk masuk ke dalam rumah, makin melebar senyuman di bibir aku. Malulah tu!

“Ada. Nak suruh bagi keropok lekor ni. Aariz belikan…”

Aku angkat kening. “Abang Riz belikan?”

“Iye.”

“Abang Riz, untuk Dhia takde ke?” Aku menguatkan suara supaya Abang Aariz dapat dengar.

Dia yang baru nak masuk dalam rumah berpaling ke arah aku. 

“Dhia kongsilah dengan Nad.”

“Sejak bila pulak Abang Riz tahu Nad suka keropok lekor?” Aku memang tahu Nadhrah suka keropok lekor tapi aku tak sangka pula yang Abang Aariz pun tahu sekali. Tak silap aku, orang yang rapat dengan Nadhrah aje yang tahu kawan aku tu suka makan keropok lekor.

Muka Abang Aariz berubah sebelum dia kelam kabut masuk rumah. Automatik aku tergelak sambil mengenyit mata ke arah Mak Long. Kalau tengok dari gaya malu-malu Abang Aariz tadi, peluang Mak Long nak bermenantukan Nadhrah tu memang terlampau cerah. Sekarang ni tinggal aku nak tanya dekat Nadhrah aje lagi. 

“Suka sangat mengusik si Riz tu.” Mak menepuk kuat bahu aku. Lengan aku juga dicubitnya.

“Sajalah nak gurau dengan dia. Senanglah nak kenenkan dengan Nad nanti.” Aku tersengih-sengih sebelum terasa kaki aku dah dipeluk oleh seseorang dari arah belakang.

“Aunty!” Terus aku dukung Maya dan pipinya aku cium geram. Terkekek-kekek dia ketawa kegelian sebelum dia turut mencium pipi aku. 

“Maya datang dengan siapa?”

“Dengan papa. Tu…” Mulutnya dimuncungkan ke arah belakang aku.

“Nak balik dah ke, Dhia?” Soal Eijaz sebelum mengambil Maya dari dukungan aku. 

“A’ah. Kau duduk lama ke dekat sini?”

Dia menggeleng. “Seminggu je kut. Lepas tu dah kena kerja.”

Aku mengangguk faham. 

Nasiblah ada position yang kosong dekat sini, kalau tak entah berapa lama lagi la dia duduk sana,” ucap Acik Hana yang tiba-tiba muncul di sebelah Eijaz. Aku terus bersalaman dengan dia sambil tersenyum lebar. Semalam tak sempat nak sembang panjang sebab ramai sangat tetamu yang datang kenduri opah. Cuma sempat tanya khabar aje.

“Tak apalah, Acik Hana. Ni Eijaz dah balik, siap bawak Maya lagi.” Aku mencuit pipi Maya. 

“Sekarang ni, Acik Hana nak carikan dia calon isteri pula. Dah lama sangat menduda.

“Mama…” Meleret Eijaz memanggil Acik Hana, tanda dia tak suka topik itu dibangkitkan oleh mamanya. Muka dia pun dah berubah. Senyuman yang tadinya ada di bibir berganti dengan kerutan di dahi.

“Jangan risau, Hana. Insya-Allah nanti Eijaz jumpa la pengganti Jannah,” ucap Mak Long sambil memaut bahu aku. Bila aku berpaling untuk melihat Mak Long, dia hanya tersenyum tapi senyuman Mak Long tu buat aku seram sejuk. Seperti ada sesuatu yang cuba disampaikan melalui senyumannya.

“Amin… aku doakan je doa kau Atie. Manalah tahu kut-kut calonnya depan mata je kan?”

Acik Hana memandang aku sekilas sebelum mengalihkan pandangan pada Eijaz.

“Entah-entah calon dia dekat London sana.” Entah kenapa aku pun sibuk nak menyampuk. Yelah, nanti beria-ia Acik Hana carikan calon isteri, rupanya pilihan hati Eijaz ada dekat London tu. Tak ke kesian dengan calon isteri Acik Hana tu? Menaruh harapan pada yang dah punya. Nanti jadi macam aku, sampai sekarang kecewa dan makan hati berulam jantung.

“Betul ke, Eijaz?”

Eijaz pandang aku sebelum menggeleng. Dia sempat juga tergelak bila tengok mata aku membulat.

Dah kenapa dia gelak pula? Dia lupa ke ada Sara yang menanti dia dekat sana tu?

“Ala, senang-senang Dhia pun boleh menantu Acik Hana.” 

Aku dan Eijaz terus terkaku. Ayat Acik Hana berjaya mematikan nafas aku untuk beberapa detik dan apabila renungan tajam Eijaz beradu dengan mataku, terasa seperti dia cuba membaca sesuatu. Tapi apabila dia membawa Maya jauh dari situ tanpa berpaling lagi, hati aku berkecai. Dan aku tahu aku tak patut terasa hati tapi dah nama pun perempuan, sedikit sebanyak terusik juga hati aku dengan aksi Eijaz tadi. Nampak sangat Eijaz tak sudi!

“Kak Chik bertolak dulu la. Mak nanti suruh abang long drive elok-elok. Dah sampai rumah terus telefon Kak Chik ye.” Aku memeluk mak. Bila mak mengusap lembut kepalaku, tanpa sedar air mata mula bertakung di tubir mata. 

Adakah aku akan menangis untuk kesekian kalinya kerana seorang lelaki bernama Eijaz Lukman?



P/S: Berminat nak beli? Boleh search dekat shopee (Scribble Media)

No comments:

Post a Comment

♥ Thanks for the comments.

Tomodachi :)

...

Daisypath - Personal pictureDaisypath Friendship tickers