Monday, January 4, 2021

BAB 1 - Terima Kasih Cinta


\

AKU pandang lama wajah Rafiq. Selama hampir enam bulan perkenalan aku dengan dia, aku tak tahu sama ada aku ni bodoh ataupun tak berperasaan. Mungkin dua-dua kut.

Kenapa susah sangat untuk aku terima dia?

Apa kurangnya dia sehingga aku tutup pintu hati untuk dia?

Walaupun Rafiq dah buat banyak benda untuk tarik perhatian aku, aku tetap tak boleh anggap dia lebih daripada seorang kawan. Disebabkan tu jugalah, bila dia minta aku bagi peluang dekat dia, aku macam teragak-agak. Akhirnya sampai sekarang aku tak pernah pun bagi dia peluang untuk jadi lebih dari kawan. Masih lagi dalam fasa kenal hati budi kononnya.

Berapa lama lagi kau nak kenal dia, Dhia? Umur kau bukannya makin muda. 

“Kenapa awak pandang muka saya macam tu?” Rafiq angkat kening. Dahi dia berkerut seribu.

Aku menarik nafas. Mungkin aku patut berterus-terang sahaja sekarang ni. Selagi aku tak berterus-terang, selagi tu aku tipu diri sendiri dan melukakan hati lelaki sebaik Rafiq. Lelaki baik macam dia patut cari orang yang memang sayangkan dia. Bukan orang macam aku. Yang hati dia pun tak tahu ada pada siapa. 

“Saya nak berterus-terang dengan awak.”

“Berterus-terang pasal apa?”

“About us. Saya nak awak move on.” Suara aku bergetar perlahan sambil menunduk memandang ke bawah. Tidak berani untuk menatap wajah Rafiq. 

Aku tahu aku kejam. Kejam sebab tak cuba bagi peluang. Kejam sebab menghancurkan hati seorang lelaki yang baik hati macam Rafiq. Tapi aku tak nak jadi kejam dengan biarkan dia terus berharap. Cukuplah tempoh enam bulan ni yang sebenarnya sudah terlalu lama. Patutnya dari awal lagi aku berterus-terang aje. Cuma hati ni berdegil ingin memberikan peluang kepada diri sendiri untuk teruskan kehidupan seperti biasa.

“Maksud awak?” Sudu dan garfunya dah diletakkan di tepi pinggan. Tumpuan dia sekarang ni dah beralih pada aku yang dah lama berhenti makan. Nasib baik aku order sup cendawan aje tadi. Itu pun hanya terluak sikit.

“Saya tak rasa saya mampu untuk buka hati saya untuk you, Rafiq. Saya tahu saya salah. Saya bazirkan masa awak. Saya dah hancurkan harapan awak.”

Rafiq terdiam sebelum aku dengar dia menghela nafas panjang. Tapi kenapa bunyinya seolah-olah dia lega dengan apa yang aku ucapkan tadi? Seolah-olah dia memang menunggu untuk aku meluahkan semua ini.

“It’s okay, Dhia. Sebenarnya saya pun lega.”

Aku tentang matanya dengan dahi berkerut. Agak terkejut dengan apa yang baru keluar dari mulutnya. Tapi itu bukanlah bermakna yang aku tak suka bila dia menerima semuanya dengan baik, cuma aku agak pelik. Pelik kenapa dia boleh lega sedangkan sebelum ini dia seperti berusaha untuk menerima aku dalam hidupnya? Ataupun itu sekadar menutup hal sebenar. Yang hatinya juga bukan pada aku. 

“Sebenarnya saya pun dah lama nak cakap benda yang sama dengan awak. Saya tahu awak tak suka saya dan saya faham. Lagipun saya dah jumpa orang yang saya sayang dan dia pun sayang saya.” Dia tersenyum. Tak tahu sama ada dia ingin mengurangkan rasa bersalah yang menebal dalam diri ataupun dia ingin menyindir memandangkan ayatnya yang terakhir tu seolah-olah mengandungi seribu satu makna. 

Ala, Dhia! Kau ni suka fikir negatif. Positif la sikit!

“Saya harap awak happy dengan dia. Sorry for everything. Nanti nak kahwin, jangan lupa jemput saya.”

“Sure Dhia. Saya pun harapkan benda yang sama untuk awak.”


**

“DAH putus?” Mata Nadhrah tak berkelip memandang aku yang sedang tenang membaca buku. Sengaja aku biarkan soalan Nadhrah lama tak berjawab. Bukan kerana malas tapi kerana soalan itu dah diulang hampir sepuluh kali.

“Berapa kali aku kena jawab soalan yang sama ni?”

Nadhrah buat muka tidak berpuas hati sambil memeluk tubuh. Tajam matanya merenung aku dan sesekali aku dapat mendengar Nadhrah membebel perlahan. 

“Kenapa putus?”

“Aku tak putus dengan dia sebab kami tak pernah ada hubungan pun.”

Laju Nadhrah menepuk bahu aku. Kuat pulak tu!

“Sakitlah!”

“Kau ni kan memang suka menolak tuah betullah!” Kali ni dia siap cucuk-cucuk lagi lengan aku. Muka pun dah masam. Mentang-mentanglah dia yang kenalkan Rafiq tu dekat aku, beria sungguh nak marah bila hubungan aku dan Rafiq tak menjadi. 

“Ish, kau ni! Sakitlah!”

“Kenapa kau tolak dia? Lelaki macam Rafiq tu susah tau nak cari. Beria aku recommend dekat kau. Kalau aku tahu, baik ambik dekat aku je.”

Aku angkat kening. Lain macam betul ayat si Nadhrah ni. Takkanlah dalam diam, dia sebenarnya ada hati pada Rafiq tapi sengaja mendiamkan diri demi aku? Perasaan bersalah mula menghuni hati. Bimbang kerana aku, kawan baik aku sendiri terpaksa memendam rasa.

“Kau suka dia ke, Nad?” 

“Tak adalah. Cuma aku rasa rugi sebab kau tolak lelaki baik macam dia. Ramai yang minat dia tapi dia cuma berminat nak kenal dengan kau.”

“Betul ke ni? Kau jangan tipu aku, Nad. Kalau betul kau suka Rafiq, kau beritahu je. Aku okey dan aku faham,” ucapku bersungguh-sungguh. 

“Apa yang kau merepek, Dhia?” Muka Nadhrah berkerut-kerut memandang aku. “... kalau aku suka dia, aku tak offer la nak kenalkan dia dengan kau. Aku ni pentingkan diri sendiri.” 

        Aku hanya tersenyum sebelum mengambil balang berisi kacang goreng di atas meja. Disumbat kacang satu per satu ke dalam mulut.

“Aku tahu aku rugi tapi aku tak nak bagi harapan. Dah cuba dah nak terima dia tapi tetap tak boleh. Lagipun dia cakap dekat aku yang dia pun dah ada orang lain. At least dia dah jumpa orang yang sayang dia.” 

Nadhrah mengambil kacang goreng dari tapak tangan aku dan dimasukkan ke dalam mulutnya. Matanya merenung jauh sebelum dia mengalihkan pandangan pada aku. 

“Ya ke? Dekat sekolah aku tu mana ada cikgu bujang yang lain.”

“Ala, tak semestinya cikgu sekolah kau. Entah-entah orang lain. Orang macam dia tu mesti ramai yang nak.” Mustahil lelaki seperti Rafiq tu tak ada peminat. Pasti ada yang akan memerhati dari jauh ataupun yang dah meluahkan perasaan, cuma hati lelaki tu masih belum terbuka ketika itu. 

Nadhrah mengangguk kecil sambil memandang aku. 

“Kenapa kau tolak dia? Kau teringat dekat Eijaz lagi ke?”

Jantung aku berdegup laju mendengar nama yang sudah lama tidak menjengah di bibir dan telinga aku. Apabila mendengar Nadhrah menyebut kembali nama lelaki itu, hati yang kononnya telah pulih sepenuhnya mula terasa sakit. Tapi bukan salah Eijaz, aku sendiri yang membenarkan hati aku disakiti kerana sememangnya dari awal lagi hati Eijaz bukan untuk aku. Hati dia untuk Jannah dan aku yang terlalu menyimpan rasa. Rasa yang akhirnya tidak berbalas. 

“Dhia?” Nadhrah menyentuh lembut bahu aku. Menyedarkan aku dari kisah lama.

“Aku tak nak tipu diri aku, Nad. Hati aku memang tak ada dekat Rafiq. Aku dah cuba nak terima dia, cuba nak sayang dia tapi tak boleh.”

“Sebab kau masih sayangkan Eijaz ke?” Soalan yang lebih kurang sama disoal. Cuma yang bezanya, soalan kali ini lebih sukar untuk dijawab. 

Aku tak tahu sama ada ingin mengiyakan atau menidakkan. Sayang ke lagi aku pada lelaki bernama Eijaz Lukman tu? Masih ada ke perasaan cinta yang dulunya melimpah ruah untuk dia sehinggakan aku sanggup buat apa sahaja untuk kebahagiaan dia? 

Dah hampir tujuh tahun sejak kali terakhir aku bertentang mata dengan Eijaz. Sejak dia ke luar negara, mana pernah lagi dia balik sini. Hanya mama dan papanya yang selalu ke sana. Itu pun setahun sekali. Dan menurut Acik Hana, Eijaz memang selalu suruh mereka berdua selalu ke sana. Cuma Acik Hana yang tak sampai hati nak suruh anak lelakinya itu menghabiskan duit untuk tiket kapal terbang sahaja. Sekali pergi dah hampir berpuluh ribu yang perlu dikeluarkan. 

“Tak tahulah, Nad. Malas aku nak fikir. Yang sekarang ni aku nak happy je,” balasku mudah. Malas nak serabutkan kepala untuk sesuatu yang tak pasti. 

“Nak aku carikan orang lain tak? Kut-kut yang ni menjadi?”

“Daripada kau cari untuk aku, apa kata kau cari untuk kau pulak?” Aku menekan Nadhrah. Dari dulu sampai sekarang, dia hanya sibuk mencari jodoh untuk aku padahal umur kami ni sebaya. Dan kalau nak dibandingkan aku dan dia, Nadhrah jauh lebih bagus. Rajin serba serbi. Semua benda dia boleh buat dan kalau ada mak cik-mak cik yang ada anak bujang tengok, mesti ramai yang berebut nak jadikan menantu.

“Malaslah. Susah nak cari yang berkenan di hati.”

“Amboi, pandai! Untuk kau, tak nak cari. Sibuk cari untuk aku pulak.”

“Bukan kau ke yang cakap mak cik-mak cik kau tu dah mula tanya bila kau nak kahwin… kau lupa ke, Cik Dhia Aisyah?” Nadhrah menolak-nolak bahu aku.

Aku mengeluh berat. Mana boleh lupa! Setiap kali aku balik kampung, hanya soalan itu yang akan ditanya. Tak dapat bertanya pada aku, mereka beralih pula pada mak. Tapi jawapannya tetap sama. Dhia Aisyah masih belum ada calon suami lagi buat masa sekarang. 

“Hujung minggu ni jadi ke balik kampung?” 

“Huh?” Dahi aku berkerut. Tak dapat menangkap soalan Nadhrah tadi.

Nadhrah mencebik. “Suka sangat berangan la kau ni. Aku tanya, kau jadi tak balik kampung hujung minggu ni?”

“Jadilah. Berani tak balik, mau sebulan opah merajuk dengan aku. Kau bukannya tak kenal opah aku tu macam mana.”

“Nak aku ikut?”

“Bukan kau ada kelas tambahan ke?”

“A’ah. Saja je tanya. Nak tunjuk yang aku ni prihatin.” Senyuman nakal terukir di bibir Nadhrah. 

“Kurang asam!” Aku lempar bantal dekat muka Nadhrah yang galak ketawa.



P/S: Novel ini telah diterbitkan. Alhamdulillah :D Selepas Kafe Damia, Oppa Saranghaeyo, muncullah Terima Kasih Cinta. Sesiapa nak beli boleh pergi ke shopee Scribble Media dan order. Insya-Allah ada freegift :D 

No comments:

Post a Comment

♥ Thanks for the comments.

Tomodachi :)

...

Daisypath - Personal pictureDaisypath Friendship tickers