Sunday, December 30, 2018

Cerpen: Dia Kachak, Dia Comel!


Dia Kachak, Dia Comel
Oleh : Moon Leeya Zafrina

“Assalamualaikum mak!” Aku menjerit gembira sambil mendaki tangga.Beg diletakkan di muka pintu. Rindunya aku dekat kampung ni!
            “Waalaikumussalam.” Aku mendepangkan tangan sebaik saja mak membuka pintu.
            “Anak mak!” Kami berdua berpelukan sambil melompat-lompat kecil. Rindunya dekat mak!
            “Kenapa tak cakap nak balik? Boleh mak masak lauk best-best untuk Irah.”
            Aku tersengih sambil menarik tangan mak masuk ke dalam rumah dan terus melabuhkan punggung di atas sofa. Tudung di kepala ditanggalkan.
            “Saja nak buat surprise kat mak.Hehe...”
            “Pandailah kamu nak buat surprise. Mak nak ke dapur sekejap. Dah lapar ke?” Soal mak yang mula bangkit dari duduknya.
            “Tak lagi. Nak pergi jumpa Comel kejap.”
            “Comel jugak yang dia duk kisah. Orang suruh kahwin tak nak. Kalau tak, mesti kamu dah jadi mak orang.” Sindir mak. Aku hanya tersenyum sumbing. Dah lali sangat dengar mak duk sebut pasal kahwin.
            “Belum sampai seru nak berumah tangga.”
            “Tunggu kamu punya seru sampai, entah bilalah mak nak bermenantu.” Balas mak sambil menggeleng kepala.
            Aku hanya tergelak kecil. ”Ada jodoh tak ke mana, mak. Irah pergi jumpa Comel kejap ye. Nak bawak dia jalan-jalan.”
 Aku menyarung balik tudung sebelum mencium pipi mak dan berlari turun ke padang rumput di belakang rumah. Tak sabar nak jumpa Comel kesayanganku itu. Dari dia kecil sampailah besar, aku yang jaga dia tapi sejak aku mula bekerja sebagai cikgu sekolah rendah ni terpaksalah mak dengan ayah yang jaga dia. Kalau diikutkan setiap adik beradik aku mempunyai seekor lembu. Yang Angah punya namanya Bobo, yang Usu punya pulak Browny. Dan yang aku punya pulak Comel! Masa kami semua kecil-kecil dulu, ayah dah latih supaya kami adik-beradik menolongnya bekerja.
            “Comel!” Aku menjerit kegirangan sebaik saja melihat Comel yang sedang meragut rumput.
            “Kau rindu aku tak?” Soalku sambil mengusap kepala Comel. Dia hanya menguak sambil meragut rumput.
            “Nak jalan-jalan tak?” Aku mula memegang tali yang mengikat lehernya ke sebatang pokok. Perlahan-lahan aku menariknya ke hadapan. Sesekali aku dapat mendengar bunyi locengnya berdenting-denting.
            “Mooo!” Tiba-tiba Comel menguak lebih kuat.
            “Kenapa Comel?” Dahi aku berkerut.
            “Mooo!” Terus aku berpaling ke depan apabila mendengar suara lembu lain pulak menguak. Terbuntang mata aku bila tengok Kachak! Lembu si Hizwan!
            Hizwan turut terbuntang mata melihat aku yang berdiri di sebelah Comel. Musuh tradisi aku dari dulu lagi walaupun aku tak pasti apa punca kami bergaduh!
            “Kau!” Dia menjerit kuat sambil menghala jari telunjuknya ke arah aku.
            “Apa? Nak gaduh ke?” Balas aku selamba sambil menarik tali Comel. Malas nak berlama-lama dekat sini. Nanti tak pasal-pasal melayang kepala Hizwan tu aku buat.
            “Suruh lembu kau tu jauhkan diri dari Kachak!” Ucap dia sebaik saja aku berjalan di sebelahnya. Aku menjeling geram.
            “Lembu kau tu yang duk gatal nak mengayat Comel, okey! Hari-hari sibuk bawak Comel dating. Kau ingat aku tak tahu ke? Adik aku cakap kadang-kadang tu kau saja je biar Kachak dating dengan Comel!” Balas aku geram sambil menggesa Comel supaya berjalan cepat. Lagi lama aku tengok Hizwan, makin panas hati ni. Sempat lagi aku menjelirkan lidah ke arahnya sebelum berpaling ke hadapan.
            “Comel, pleaselah...jangan bercinta dengan Kachak. Aku tahu mungkin Kachak tu hensem pada pandangan mata kau tapi carilah yang lain ye. Banyak lagi lembu hensem dekat sini.Si Koko tu pun ada.” Aku berbisik dekat telinga Comel. Comel menggelengkan kepala menyebabkan loceng di lehernya berbunyi.
            “Apasal kau tak nak Koko? Aku tengok Koko tu okey je.” Aku mencebik. Kemudian aku tergelak kecil. Macamlah Comel ni faham apa yang aku cakap ni kan? Padanlah orang cakap aku mereng sebab selalu cakap dengan Comel.Tapi peduli apa cakap orang! Yang penting aku senang hati.

***
“COMEL!!!!”
Aku menjerit sekuat hati mencari Comel yang menghilangkan diri dari pagi tadi lagi.  Dah kena ikat pun masih je boleh bolos! Sakitnya hati aku sebab dari tadi sibuk keliling kampung nak cari dia. Selalu sangat menghilang lembu kesayangan aku ni. Suka sangat pergi dating dengan si Kachak! Dah banyak kali aku pesan dekat Comel, kalau nak dating suruh si Kachak datang mintak izin dulu tapi haram! Diorang pergi macam tu je.
            “Umairah!!!”
            Aku berpaling ke belakang sambil memandang Hizwan yang tengah berlari anak ke arahku.
            “Mana Kachak? Comel bawak dia pergi mana?!” Tanya Hizwan sambil memeluk tubuh.
            “Wei! Soalan baik-baik sikit ye. Kachak yang bawak dia lari! Aku dah pesan banyak kali dekat kau, jaga elok-elok lembu kau tu. Suruh dia ada adab sikit. Datanglah mintak izin dengan aku dulu kalau nak jumpa dengan Comel!” Balas aku sambil mengawangkan tangan di udara. Dahlah tengah geram sebab tak jumpa-jumpa Comel, jumpa pulak dengan mamat ni.Lagilah panas hati aku ni.
            “Comel kau yang sibuk-sibuk nak jumpa dengan Kachak okey!”
            “Huh! Takdenya...” Cemik aku sambil berpeluk tubuh.
            “Aku rasa aku tahu diorang kat mana.” Ucap Hizwan tiba-tiba selepas kami berdua senyap untuk jangka masa yang agak lama.
            “Mana?”
            “Ikut aku!” Dia berlari tanpa menunggu aku. Kurang asam! Terus aku membuka langkah secepat mungkin untuk mengejar dia. Ni Nurul Umairah lah! Jaguh berlari dekat sekolah dulu tau!
           
***

“See! Betul apa aku cakap!” Dia menunjuk ke sesuatu arah. Aku memandang ke arah yang ditunjuknya. Tercengang melihat Kachak dan Comel sedang meragut rumput di situ bersama-sama beberapa ekor lembu yang lain.
            “Comel!” Aku berlari ke arah Comel sebelum memeluknya.
            “Kau pergi mana, hah? Aku risau tau!”
            Comel hanya membalas dengan menguak. Hizwan pulak hanya mengusap Kachak.
            “Ni lembu siapa banyak-banyak kat sini?” Tanya aku sambil memandang lembu-lembu yang lain.
            “Aku punya.” Balas Hizwan selamba.
            “Kau? Kau kerja apa?” Baru sekarang aku bertanya pekerjaannya. Yelah, selama ni aku jarang jumpa dia walaupun kami duduk sekampung, jadi aku pun tak tahulah dia kerja apa. Tapi kalau ada lembu sampai berekor-ekor ni mesti kerja dia bergaji lumayan.
            “Petani moden.Kau?”
            Aku terkejut. Wah! Berjaya jugak dia menjadi seperti apa yang dicita-citakan dia dulu. Masa sekolah dulu, kami sekelas. Bila cikgu tanya dia nak jadi apa bila besar. Dengan penuh yakinnya dia jawab, dia nak jadi petani moden yang Berjaya .Sebenarnya dulu dan jugak sekarang, aku kagum dengan cara dia bercakap. Sebab apa yang dia cakap, dia betul-betul maksudkannya. Contohnya macam sekarang nilah, dia dah berjaya jadi seorang petani moden yang berjaya. Walaupun dulu kami gelak habis-habisan bila dengar dia nak jadi petani moden. Zaman kami belum matang.
            “Aku cikgu sekolah rendah. Tahniah Iz! Berjaya jugak kau ye. Aku kagumlah!” Aku tersenyum senang. Tiba-tiba muka dia berubah menjadi merah.
            “Merahnya muka kau, Iz! Kau demam eh? Sekarang ni memang musim orang demam tau. Kalau tak sihat, pergi klinik cepat-cepat.” Soal aku bimbang. Walaupun dia musuh tradisi aku tapi aku tetap anggap dia kawan. Erk, ada ke macam tu?
            “Err...takdelah! Senyaplah kau, nenek! Bawaklah Comel balik. Tadi sibuk sangat nak bawak Comel balik.” Dia membalas dingin.
            “Okey...okey.Orang dah halau kita kan.Buat apa nak duduk sini lagi...” Aku bersuara sayu sambil menarik tali di leher Comel. Sempat lagi aku berpaling ke arah Hizwan yang sedang mengusap lembu-lembunya yang lain. Mamat pelik!

***
           
“Moooo!!”
            Aku mendengus geram.Siapalah pagi-pagi buat bising ni?! Aku terus mencapai tudung lalu berjalan perlahan-lahan ke pintu.
            “Sia...Kachak! Kau buat apa kat sini?” Aku terkejut tengok Kachak. Macam mana dia datang sini?
            “Bukan ke kau yang suruh dia mintak izin kalau nak jumpa Comel?” Tiba-tiba saja Hizwan muncul sambil membetulkan cap di kepalanya.
            “Erk...Awal pagi sangat korang datang ni.”
            “Apa bendanya awal pagi?! Dah pukul 8 pagi.Ni mesti kau baru bangun tidur kan? Patutlah muka macam apa je. Air liur basi pun ada lagi.” Dia sindir aku sambil memandang aku dengan pandangan yang sinis. Keningnya terangkat sedikit.
            Aku menggigit bibir. Pagi-pagi dia buat hal dah dengan aku. Saja nak bagi darah aku panas di pagi yang dingin lagi menyamankan ni.
            “Tunggu 30 minit.Bila aku dah siap mandi semua, baru Kachak boleh jumpa Comel!” Aku masuk balik ke dalam bilik tanpa menantikan sebarang jawapan dari Hizwan.
            Tuala pantas dicapai sebelum aku mandi sepuas hati dalam bilik air. Sengaja nak melambatkan masa. Biar Hizwan dengan Kachak menunggu lama kat luar rumah tu! Hahaha...aku gelak jahat dalam bilik air.
            Selepas siap mandi, baju t-shirt labuh berlengan panjang berwarna ungu aku capai dari almari bersama-sama dengan sehelai seluar track suit berwarna hitam. Tudung berwarna putih yang dah aku gosok siap-siap semalam terus disarungkan dekat kepala. Done! Aku kerling jam dinding. Hahaha...dekat sejam jugak dia menunggu.Yes!
            “Sedaplah kuih keria mak cik ni.” Aku dengar suara Hizwan tengah bercakap-cakap dengan mak masa aku makin hampir dengan ruang tamu. Terbuntang mata aku apabila melihat dia dengan penuh berseleranya makan kuih keria yang aku buat. Patutlah dia tak jerit-jerit panggil aku. Rupanya dia dah bersenang-lenang duduk dekat ruang tamu ni!
            “Bukan mak cik buat, Iz...Irah yang buat.” Terus Hizwan tersedak. Terbatuk-batuk kecil. Aku hanya tersenyum sinis.Padan muka kau!
            “Sedap kan kuih keria yang aku buat ni.” Aku duduk di sebelah mak sambil memandangnya yang sedang meneguk rakus air teh panas.
            “Biasa-biasa je.” Aku mencebik. Ego tinggi melangit! Sah-sah dia puji tadi.
            “Mana Kachak?”
            “Dengan Comel kat bawah.” Balasnya selamba sambil mencapai satu lagi kuih keria.
            “Jomlah pergi sekarang.Mak, kami pergi dulu ye.” Aku bangun lalu berjalan ke muka pintu. Dia mengekori dari belakang sambil mengambil lagi satu kuih keria aku.Kata biasa-biasa je tapi makan macam tak sedar diri! Aku mencebik geram.

***
           
“Wah, nyamannya!” Aku mendepangkan tangan ketika kami semua dah sampai dekat padang rumput. Ada jugak kanak-kanak bermain-main di sini. Mentang-mentang musim cuti sekolah, main macam tak sedar diri tu. Aku melabuhkan punggung di atas pangkin yang sememangnya disediakan oleh orang kampung untuk berehat.Walaupun sekarang ni awal pagi tapi cuaca yang redup membuatkan suasana terasa nyaman.Rasa mengantuk pun ada jugak sekarang ni.
            “Lama dah ke kau mengajar?”
            Aku membuka mata yang sebentar tadi dipejam buat seketika. Hizwan baru saja melabuhkan punggung di atas pangkin jauh dari aku.
            “Hmm...dah dekat 4 tahun.Kau dulu pergi mana, hah? Lama aku tak nampak.”
            “Aku pergi belajar. Awal tahun ni baru balik sini.”
            “Ye? Tapi kenapa aku tak nampak pun kau?” Soalku pelik. Yelah, kami kan duduk sekampung. Tapi setiap kali aku balik kampung sepanjang tahun ni, memang tak pernah nampak dia pun. Sekali pun tak!
            “Aku saja malas nak jumpa kau.” Balasnya selamba.
            “Huh! Malaslah nak cakap dengan kau. Sombong!” Aku berpaling ke arah lain. Baik tengok budak-budak bermain dari tengok muka Hizwan yang serius memanjang. Bencinya!
            Tiba-tiba aku dengar bunyi orang ketawa. Aku berpaling ke belakang. Hizwan sedang ketawa sambil menekan perutnya. Mereng!
            “Kau masih tak berubah ye, Irah. Dari dulu sampai sekarang, macam ni jugak kau ye. Aku suka...”
            Aku menelan air liur. Aku suka? Suka apa? Suka aku ke? Erk, apa kau merepek ni Irah? Takdenya mamat tu suka kat kau.
            “Suka apa?”
            “Haha…takde apa.” Dia masih ketawa kecil sambil memandang ke arah Kachak dan Comel.
            “Andailah kata kalau kita berbesan, kau rasa apa jadi?” Tanya Hizwan.
            “Entah.Aku tak pernah fikir lagi pasal tu.” Balas aku turut memandang ke arah yang sama.Tiba-tiba meletus tawa kecil dari bibir aku. Kelakar sebab sekarang ni aku rasa macam kami tengah berbual soal anak-anak pulak. Yelah, perkataan berbesan yang keluar dari mulut Hizwan seolah-olah mengatakan bahawa kami ni mak ayah kepada Kachak dengan Comel.
            “Apahal kau gelak?”
            “Takde...aku rasa kelakar pulak. Gaya kau cakap macam aku ni mak Comel pulak.Haha...”
            “Bukan maklah.Maksud aku kau kan penjaga Comel...”
            “Ye..ye.Aku faham.”
            “Bila balik Ipoh?”
            “Entah.Tak pasti lagi.Kenapa?”
            “Saja tanya. Kenapa? Tak boleh ke?” Dia tanya balik.
            “Taklah. Tiba-tiba kau ringan mulut sangat hari ni. Terkejut jugak aku.” Jawab aku sambil tersengih. Hizwan hanya mengerling aku.
            “Aku ringan mulut pun salah. Senyap pun salah.Haih...susah betul nak puaskan hati kau.” Ucapnya sambil memeluk tubuh.
            “Hahaa...baru tahu ke?”
            “Dah lama tahu.Tapi nasib baiklah aku ni...” Dia berhenti bercakap.
            “Apa?” Tanyaku ingin tahu. Tiba-tiba berhenti macam tu.
            “Nasib baiklah aku ni baik.” Sambungnya sambil tersengih.
            “Ceh, perasan!”
            “Aku memang baik pun.Tak payahlah kau nak cakap aku perasan la.” Dia membuat muka berlagak dekat depan aku. Sangat menjengkelkan!
            “Dari dulu sampai sekarang, kau macam ni jugak.Kenapa kau suka sangat sakitkan hati aku?” Aku bertanya sambil menggoyangkan kaki.
            “Sebab aku suka tengok kau marah.” Dia menjawab dengan tenang.
            “Manusia pelik!”
            “I’ll take that as a compliment.Thank you.”
            Aku mengetap gigi.Sakitnya hati aku bercakap dengan dia ni!
            “Ala, aku gurau jelah. Best mengusik kau ni. Kan dah lama kita tak jumpa.Sekali-sekala kacau kau, apa salahnya kan?” Dia menjungkit kening.
            “Yelah tu...”
            “Yelah Irah. Friends?
            Aku pandang muka dia. Cuba mencari keikhlasan di mata dia. Okey, muka dia sekarang ni memang serius. Takde langsung senyuman sinis dia tu.Selalunya bila dia buat muka macam tu, dia betul-betul maksudkan apa yang dia cakap. Samalah macam dia cakap nak jadi petani moden masa sekolah dulu.
            “Err...friends.” Aku berkata perlahan sambil tersenyum.Tak best jugak gaduh-gaduh ni sebenarnya. Lebih elok kita berbuat baik sesama manusia, kan?

***
            Aku tersenyum gembira sambil bergolek-golek atas katil. Entah kenapa sejak kebelakangan ni hati aku gembira je.
            Hubungan aku dengan Hizwan baik macam kawan. Dah takde kata-kata sarkastik yang keluar dari mulut dia cuma dia masih dengan sikap cool dia. Kadang-kadang tu menyampah jugak aku dengan dia. Muka dia macam tak ada reaksi. Asyik-asyik tayang muka tak ada perasaan. Sakit mata aku ni!
            Tit!
            Aku mengerling telefon bimbit yang berbunyi menandakan sms masuk. Dengan malas, aku mencapai telefon bimbit yang terletak di atas meja solek dan kembali berbaring di atas katil.
            + Assalamualaikum, petang ni pergi padang rumput?
            - Waalaikumussalam.Tak tahu lagi.Kenapa?
            + Kachak nak jumpa Comel.
            - Kachak nak jumpa Comel... ke kau nak jumpa aku? Hahaha..
            + Dua-dua sekali. :P
            - Haha...yelah tu.Tengoklah dulu.Nanti aku mesej kau kalau aku jadi nak pergi sana.
            + Okey.
            Aku letak telefon bimbit atas katil sampai merenung siling. Tiba-tiba teringat peristiwa semalam. Sepupu aku, Wani dah nak bertunang dengan lelaki pilihan dia.Umur kami sebaya dan masa sekolah dulu pun memang sekelas jugak. Tu yang mak bising sangat sebab aku takde siapa-siapa pun buat masa sekarang.
            Kadang-kadang aku serabut jugak memikirkan hal ni. Bukan tak nak kahwin, tapi takde siapa pun yang bertakhta di hati ni. Lagipun tak pernah pun ada orang lelaki yang cuba rapat-rapat dengan aku kecuali si Hizwan dan seorang lelaki yang pernah aku sayang dulu. Bila teringat pasal lelaki tu, aku rasa macam nak menangis pun ada. 
            Tanpa sebarang mukadimah, dia mintak putus.Dia cakap kami tak sesuai.Aku baik dia jahat.Apa punya alasan pun aku tak tahu? Dia telah menghancurkan hati aku! Nasib baik aku belum bawak dia jumpa mak dengan ayah.Kalau tak, memang nayalah!
            “Irah, ada orang datang ni.” Mak ketuk pintu bilik sebelum menjenguk melihat aku yang terbaring dekat atas katil.
            “Hah? Siapa mak?” Soalku pelik.
            “Entah.Mak tak kenal tapi hensem orangnya. Kereta pun besar.” Kata mak sambil tersenyum. Kening aku bercantum.Siapa pulak ni?
            Segera aku mencapai tudung sebelum melangkah keluar ke ruang tamu. Aku memandang lama lelaki yang sedang duduk membelakangi aku.
            “Taufiq, ni Irah dah keluar.”
            Aku tersentak sebaik saja mendengar nama yang disebut oleh ayah. Taufiq? Mustahil tu dia! Dia mana tahu aku duduk sini!
            Aku semakin berdebar-debar apabila dia memalingkan kepala. Sah, memang Taufiq! Baru cakap pasal dia, dah terus muncul dekat depan muka aku. Arghh! Bencinya aku tengok dia!
            “Apa awak buat dekat sini?” Soalku dingin sambil berpeluk tubuh.
            “Saya datang nak jumpa awak.Nak mintak maaf.”
            “Saya dah maafkan awak. So tolong pergi sekarang.” Balasku sambil menghala jari telunjuk ke arah pintu.
            “Irah, tak baiklah macam ni.” Mak menegurkan tindakan aku yang mungkin nampak agak keterlaluan. Yelah, gaya aku macam menghalau je Taufiq ni.Dan hakikatnya, memang aku nak halau dia pun!
            “Dia tak patut datang sini, mak ayah. Awak tolong balik sekarang.” Aku memandangnya dengan tajam. Mak dan ayah agak serba-salah. Perlahan-lahan Taufiq bangkit dari duduknya.
            “Saya tahu saya banyak buat salah tapi tolonglah maafkan saya, Irah.” Ucapnya lembut.Aku mencebik.
            “Saya dah maafkan awak cuma saya tak nak tengok awak dah.”
            “Taufiq nak hantar rombongan meminang nanti.” Aku tersentak seraya memandang ayah.Mata aku membulat.Rombongan meminang?
            “Tak payahlah.Saya tak nak terima.”
            “Kenapa tak? Saya tahu salah saya sebab bertindak macam tu dulu tapi percayalah yang saya dah menyesal sekarang. Saya nak jadikan awak isteri saya yang sah.” Kata Taufiq dengan bersungguh-sungguh. Aku hanya memandang ke arah lain. Hati aku memang dah tertutup buat dia!
            “Tolonglah. Saya dah tak boleh terima awak dalam hati saya. Tolonglah balik. Lagipun saya dah ada yang punya.” Balas aku cuba berlembut. Makin kasar, makin Taufiq ni degil!
            “Bila masa kamu dah berpunya, Irah?” Mak tiba-tiba bertanya dengan dahi yang berkerut.Aku hanya tersenyum sumbing.Idea, marilah datang kepada ku!
            “Err...Irah malu nak cakap dengan mak.”
            “Ke kamu menipu mak, Irah?” Mak memandang aku dengan tajam.
            “Irah!” Tiba-tiba Hizwan muncul di depan muka pintu. Mengejutkan aku yang tengah gelisah nak jawab soalan mak.
            “Apa?”
            “Saja nak kacau kau. Hahaha!” Hizwan ketawa sambil membetulkan cap di kepalanya. Aku mengetap gigi. Aku luku kang baru tahu!
            Aku mengerling ke arah Taufiq yang sedang memandang Hizwan. Spontan aku menghampiri Hizwan dan mengenyit mata ke arahnya. Ya! Idea sudah mari!
            “Ni bakal tunang saya.”
            Mata Taufiq terbeliak. Aku tak berani nak pandang Hizwan sebab aku boleh rasa yang dia tengah tengok aku macam nak telan.
            “Tunang?”
            “A’ah.Sebelum sekolah bukak nanti, kami akan bertunang. Kalau tak percaya, tanyalah dia.” Aku menjuihkan bibir ke arah Hizwan yang kelihatan tenang berbanding tadi. Dia kembali menayangkan muka tak ada perasaannya.
            “Betul ke kau nak bertunang dengan dia?
            “Taklah.”
            Aku memandang Hizwan dengan mata yang terbeliak. Alah, takkan kau ni bengap sangat, Iz oi! Berlakonlah! Berlakon! Huwaa! Mak dengan ayah pun dari tadi senyap je. Mungkin tak nak masuk campur dalam masalah kami yang muda-muda lagi ni. Ataupun terkejut sebab aku cakap Hizwan ni bakal tunang aku?
            Taufiq mengerling ke arahku sambil tersenyum. Seronoklah tu dapat tahu aku tipu dia! Semua kau punya pasal Iz! Benci betul aku!
            “Jadi kau dengan dia memang takde apa-apa lah kan?”
            Hizwan tersenyum sinis.
            “Aku tak habis cakap lagilah. Aku dengan dia memang tak bertunang tapi nak kahwin terus. Mungkin ada jugak majlis bertunang tu nanti tapi lepas tu terus nikah. Benda yang baik tak elok ditangguhkan. Lagipun banyak dugaan kalau bertunang lama-lama ni.” Balas Hizwan sambil mengenyit mata ke arahku. Spontan aku menekup dada.Wah, bukan main ayat kau Iz!
            Aku nampak yang Taufiq dah terkedu. Gaya macam orang yang tengah tercekik tulang ikan pun dah ada. Aku ketawa dalam hati.
            “Jemputlah datang ke majlis kami nanti. 10 Disember. Datang ye.” Sambung Hizwan lagi.
            Kali ni bukan setakat Taufiq yang terkejut, dengan aku sekali dah terkejut. Siap beri tarikh lagi tu! Macam betul je aku nak nikah dengan dia.
            “A’ah. Datanglah nanti.”Aku tersengih.
            Taufiq hanya tersenyum tawar.”InsyaAllah.Mak cik pak cik, saya balik dulu.”
            Hariz berpaling memandang ke arah mak dan ayah.Mak dan ayah hanya mengangguk kepala sambil tersenyum.
            “Senang-senang datanglah lagi ye, Taufiq.” Kata ayah sambil menemaninya sehingga ke kereta.Aku hanya ketawa.Nak ke dia datang sini lagi?
            “Kamu berdua ni pulak!”
            Aku tersentak apabila mendengar suara mak.
            “Kenapa mak cik?”
            “Kenapa tak cakap nak kahwin? Tiba-tiba je buat keputusan. Lagi 3 minggu je majlis tu.Banyak benda nak kena buat. Bunga telur, pelamin, baju pengantin..haih.Irah-irah, kenapa tak cakap dengan mak yang kamu nak kahwin dengan si Iz ni?”
            Aku dengan Hizwan saling berpandangan sebelum aku ketawa. Senak perut ketawa banyak-banyak ni.
            “Mak, tadi tu berlakon jelah.” Kata aku sambil menekan perut.
            “Siapa kata?” Tanya Hizwan perlahan. Mata dia merenung aku dengan tajam.
            Ketawa aku terus mengendur.
            “Apa maksud kau?”
            Dia hanya diam sambil memandang aku.
            “Jumpa petang nanti kat padang.Assalamualaikum mak cik.Iz balik dulu.” Terus Hizwan berlari turun. Aku pulak masih tercengang-cengang.Sah Hizwan dah tak betul! Aku menggeleng kepala.

***
           
Petang tu aku dengan Comel pergi ke padang rumput lebih awal dari Hizwan. Sengaja aku nak tunggu dia dulu sebab aku masih lagi musykil dengan kata-kata dia tadi. Dan aku perasan yang dia makin pelik sejak akhir-akhir ni.
            “Dah lama sampai?”
            Aku berpaling ke belakang. Dia sedang tersengih sambil berjalan menghampiri aku.
            “Baru je lagi.Aku ada benda nak tanya kau ni.”
            “Apa dia?”
            “Kau suka ke Kachak bercinta dengan Comel?” Tanyaku sambil memandangnya. Dia hanya tersenyum kecil. Lama jugak dia mendiamkan diri sebelum aku dengar dia menghela nafas.
            “Suka sebab orang cakap kalau nak tawan hati maknya, kenalah tawan hati anaknya dulu.” Jawab Hizwan sambil menanggalkan cap yang dipakainya. Dia menyebak rambutnya ke belakang. Aku tercengang. Mak? Mak Comel dah tak ada. Ke Hizwan dah tak betul?
            “Apa kau merepek ni, Iz?”
            “Betullah apa aku cakap. Kalau nak tawan hati maknya, kenalah tawan hati anaknya dulu.” Hizwan mengulangi apa yang dikatakannya tadi.
            “Aku masih tak faham.” Aku tayang muka blur. Memang aku tak faham langsung apa yang Hizwan cakap ni.
            “Susahlah nak bercakap dengan kau ni!” Tiba-tiba dia membentak. Aku mencebik. Dah orang tak faham, nak buat macam mana lagi. Aduhai!
            “Aku pun ada soalan nak tanya kau.”
            “Apa dia?”
            “Apa hubungan kau dengan lelaki tadi?”
            Aku diam. Memikirkan sama ada perlu ataupun tidak aku bercerita kepadanya. Tapi akhirnya aku memutuskan untuk menceritakan saja semuanya.
            “Dulu kami bercinta. Err..nak kata bercinta pun tak sebenarnya. Aku tak tahu nak explain macam mana hubungan kami. Dia pernah luahkan perasaan dia dekat aku. Dan aku pun rasa benda yang sama. Tapi aku tak rasa kami bercinta sebenarnya sebab masa tu kami muda lagi. Aku cakap kat dia yang aku nak kerja dulu. Baru nak fikir pasal hubungan kami. Dia setuju je masa tu tapi lama-lama...”
            “Hati dia berubah?” Celah Hizwan.
            Aku menggeleng.” Aku langsung tak tahu sebabnya. Dia cakap dekat aku yang kami tak sesuai. Jadi lebih elok kami putus.”
            “Dia dah datang balik. So, kau nak buat apa?” Tanya Hizwan.
            Aku hanya menjungkit bahu. Tak tahu nak cakap apa. Dia datang balik pun dah tak ada guna. Pintu hati aku dah tertutup untuk dia.
            “Aku maksudkan apa yang aku cakap tadi.”
            “Huh?” Dahi aku berkerut.
            “Kadang-kadang tu kita tak sedar yang kita dah suka dia.”
            Dahi aku makin berkerut. ”Kau okey ke tak ni?”
            “Kau lupakan jelah lelaki tadi.Ramai lagi lelaki yang baik untuk kau.Kalau susah-susah sangat, kau pilih je aku.” Kata Hizwan sambil tersengih. Aku ketawa mendengar gurauannya.
            “Kau bukan suka dekat aku pun.”
            “Siapa cakap?”
            Aku kaget.”Err...”
            Tiba-tiba Hizwan ketawa. ”Aku gurau jelah! Hahahaha!”
            Aku melempar selipar ke arahnya. Sedap je mainkan aku. Ingat betul tadi yang dia suka aku. Haih...dah perasan kejap tadi.

***
           
Aku menjerit geram sambil melempar batu ke tengah-tengah padang rumput. Hati aku panas sangat sekarang ni. Baru tadi, aku dikejutkan dengan berita yang Taufiq akan menghantar rombongan meminang jugak. Entah dari mana dia dapat tahu yang aku sebenarnya tak ada apa-apa hubungan pun dengan Hizwan. Takkanlah dia upah spy untuk intip aku? Tension betul kepala otak ni! Mak dan ayah mengambil jalan mudah dengan hanya menjungkit bahu. Haih...sabar jelah.
            “Apa susah sangat? Tolak jelah.”
            “Memanglah tapi...kalau dah libat mak dengan ayah dia sekali, aku lemah sikit. Mak dia baik tau. Ayah dia pun. Tak sampai hatilah aku nak kecewakan diorang. Masa aku berkawan dengan Taufiq dulu, mak dengan ayah dia memang layan aku baik sangat.” Balas aku sambil memintal hujung tudung. Aku memandang ke arah langit yang cerah yang dipenuhi layang-layang yang berterbangan. Petang-petang macam ni memang ramai budak-budak yang main layang-layang.
“Hah?”
“Aku rasa susah nak cakap “tak!” dekat mak dengan ayah dia.”
“Kau kena cakap tak jugak!” Hizwan tiba-tiba bersuara kuat. Dadanya berombak-ombak seperti menahan marah. Tajam pandangan matanya menikam anak mata aku. Kenapa tiba-tiba dia naik angin ni?
“Kau okey tak ni?”
“Cakap tak dekat keluarga Taufiq!”
“Tapi....”
Please...” Dia bersuara lirih sambil memandang aku. Aku terkedu dan aku membalas pandangannya dengan muka yang terkejut. Kenapa suara dia macam sedih je?
“Kau okey tak ni? Kenapa macam sedih je ni?” Aku bertanya dengan suara yang lembut. Bimbang jugak aku tengok dia macam ni. Perangai dia pelik secara tiba-tiba. Tadi okey je tapi sekarang tiba-tiba jadi macam ni.
“Aku tak okey kalau kau terima Taufiq.” Jawab Hizwan perlahan sebelum berjalan pergi dari situ tanpa sempat aku menghalangnya. Kachak dibawanya pergi sekali. Aku masih memandang Hizwan yang ternyata amat pelik hari ni. Aku tak okey kalau kau terima Taufiq? Hmm...bunyi macam cemburu? Betul ke dia cemburu?!

***

Terbuntang luas mata aku sebaik saja balik rumah. Beg plastik yang dipegang terus terlepas dari tangan. Terkejut melihat ada ramai orang dalam rumah ni.Nak-nak lagi aku nampak beriya ada tepak sirih segala. Selalunya bila ada orang bawak tepak sirih, dia nak datang meminang.Oh tidak! Taufiq dah hantar rombongan meminang ke?
“Irah...meh duduk kat mak.” Mak menarik tangan aku yang masih lagi tercengang dekat depan pintu rumah. Aku hanya menurut dengan semangat yang dah hilang entah ke mana. Aku hanya menunduk kepala tanpa memandang sesiapa pun. Takut andai kata ternampak mak Taufiq dan aku tahu saat itu, aku pasti akan lemah.
“Ni rombongan meminang untuk Irah.” Kata mak lagi sambil mengenggam tanganku yang sememangnya dah sejuk. Aku hanya mengangguk kecil.
Tiba-tiba tangan aku disentuh oleh seseorang. Dengan pantas aku mengangkat muka dan aku menarik nafas lega sebaik saja ternampak mak Hizwan yang menyentuhku. Takut jugak kalau mak Taufiq yang sentuh aku tadi. Tapi...kenapa mak Hizwan ada dekat sini?
“Mak cik ada hajat ni.” Kata Mak cik Ramlah, mak kepada Hizwan. Aku menelan liur. Hajat?
“Apa dia, mak cik?”
“Mak cik datang meminang Irah untuk Hizwan.”
Mata aku terus terbeliak. Jantung aku terus berdegup laju. Biar betul?! Hizwan suruh mak dia pinang aku?! Mimpi ke apa ni?
Aku memejam mata rapat-rapat sambil menggigit bibir. Mimpi ni! Aku confirm ni mimpi. Takkan tiba-tiba Hizwan hantar rombongan meminang. Dia tak suka aku pun.Kami kawan tapi...aku teringat balik kata-kata dia beberapa hari yang lalu.
                                            Aku tak okey kalau kau terima Taufiq! 
Terus aku bukak mata luas-luas. Sudah! Jadi tepatlah teori aku yang dia cemburu. Aku menarik nafas lega. Erk, lega? Apasal pulak rasa lega ni? Sebab Hizwan pinang aku ke?
“Hizwan harap sangat Irah sudi terima dia. Dah lama dia suka Irah sebenarnya tapi dia malu nak cakap.” Ucap Mak cik Ramlah lagi. Hizwan dah lama suka aku? Tiba-tiba aku rasa sebak.
“Dia suruh mak cik bagi surat ni dekat Irah sebelum Irah bagi kata putus untuk pinangan kami ni.” Mak Cik Ramlah menghulurkan sepucuk surat kepada aku. Teragak-agak aku untuk mengambilnya. Takut andai kata aku pengsan selepas membaca apa yang ditulis oleh Hizwan. Perlahan-lahan aku menarik nafas dan membaca surat Hizwan.
Assalamualaikum Umairah,
Maafkan aku sebab tiba-tiba pinang kau. Aku tahu yang kau tak suka aku dan kau hanya anggap aku kawan. Tak lebih dari tu kan? Tapi aku tak sanggup nak biarkan kau bernikah  dengan Taufiq berlagak tu. Aku takut kalau dia sakitkan hati kau lagi macam dulu.
Dan aku mengaku yang selama ni aku jahat sangat dengan kau. Suka sakitkan hati kau sejak kita sekolah lagi tapi sebenarnya aku dah lama sukakan kau. Aku suka buat kau marah sebab bila kau marah, barulah kau nak cakap dengan aku. Aku memang teruk kan? Tak romantik macam orang lain. Aku kasar.Kerja pun petani moden je.Cuma aku nak kau tahu yang aku sayangkan kau dan InsyaAllah aku akan sedaya upaya membahagiakan hidup kau.
Aku dah tersedu-sedan. Air mata aku mengalir laju bagaikan air hujan. Tersentuh hati aku dengan surat Hizwan ni. Tak sangka dia dah lama sukakan aku.Dan aku yang lambat sedar yang aku pun sukakan dia sebenarnya. Sebab tu aku rasa lega dia yang meminang aku dan bukannya Taufiq.
“Mak cik, tunang terus tak boleh ke?” Aku bertanya sambil mengelap air mata. Terus Mak Cik Ramlah dan tetamu yang lain ketawa. Aku pulak tersenyum sumbing. Err...gatal sangat ke aku tanya soalan macam tu? Okey, aku mengaku! Memang gatal pun! Haih!

***

“Aku terima nikahnya Nurul Umairah binti Rashid dengan mas kahwin RM 80 tunai...” Kata Hizwan dengan lancar.
“Sah?”
“Sah!”
“Alhamdulillah...” Tuk kadi membacakan doa.  Aku tersenyum lega sambil memandang ke arah Hizwan yang sudah sah menjadi suamiku. Begitu kacak sekali dia mengenakan sepersalinan baju melayu berwarna putih.
Kemudian Hizwan bangkit dari duduknya dan menghampiri aku yang duduk tidak begitu jauh darinya. Jari aku dicapai lalu dia menyarungkan sebentuk cincin bermatakan sebutir berlian. Tangannya aku kucup sebelum dahiku diciumnya lama kerana Farid, adik kepada Hizwan sibuk nak menangkap gambar dia ketika mencium dahi aku.
“Comel sayang Kachak, saya sayang awak.” Perlahan Hizwan berbisik di telinga aku sebaik saja majlis pernikahan kami selesai. Sekarang ni kami dalam perjalanan balik ke rumah aku.
Aku hanya tersenyum. Malu nak balas balik apa dia cakap.
“Balaslah...”
“Balas apa?” Aku berpura-pura tanya. Dah tahu sebenarnya.
“Cakaplah yang Irah pun sayang abang.” Dia masih berbisik lembut di telinga aku. Aku mula menelan air liur. Abang?! Alahai...
“Err..malulah dekat sini.Mak dengan ayah dengar karang.”
Dia memandang mak dan ayah yang duduk di hadapan. Tiba-tiba Hizwan tersenyum nakal.
“Bisik jelah kat telinga abang ni.”
Aku menggigit bibir sambil mendekatkan bibir ke telinga dia.
“Irah sayang abang jugak!”
Dia ketawa kecil sambil mengenggam tangan aku. Aku hanya menunduk malu. Tak sangka dah kahwin dengan Hizwan. Malunya! Dan kami bernikah pada 10 Disember 2010. Taufiq langsung tak nampak bayang muka pun. Selepas aku cakap yang aku akan berkahwin dengan Hizwan, dia tak percaya sebab dia cakap aku tipu. Lepas mak dengan ayah aku masuk campur, terus dia percaya. Dia berjanji yang dia takkan kacau aku lagi dan mendoakan supaya aku dan Hizwan berbahagia.

***
Aku melentokkan kepala di bahu Hizwan sambil memerhatikan Comel dan Kachak yang sedang meragut rumput. Tanganku pula digenggam erat oleh Hizwan. Angin yang bertiup amat menyamankan.
“Suka tengok Comel dengan Kachak.” Ucapku sambil tersenyum.
“Abang pun.”
Perlahan-lahan aku bangkit lalu menghampiri Kachak dan Comel. Diusap-usap lembut kulit mereka.Hizwan yang pada mulanya hanya melihat, datang menghampiri Kachak lalu diusap kulit lembu kesayangannya itu.
“Terima kasih Kachak. Sebab tolong aku jumpa dengan Mama Comel ni. Kalau bukan sebab kau, mesti aku dah frust menonggeng!” Kata Hizwan sambil tersengih. Aku pulak terus ketawa kecil.
“Betul tu Kachak. Terima kasih sebab selalu menggatal dengan Comel walaupun aku asyik marah kau je. Kalau tak, mesti orang tu frust menonggeng!” Balasku masih lagi ketawa.
“Kutuk abang ye. Siap Irah!” Hizwan mula berlari ke arahku. Sambil ketawa, terus aku berlari menjauhinya.
“Abang dapat Irah nanti, siaplah!” Laung Hizwan turut ketawa. Aku hanya tersenyum sambil bersembuyi di belakang Comel dan Kachak.
“Akak, abang! Dahlah tu main-main! Dah kahwin pun macam budak-budak lagi.” Jerit Farid kuat sambil menggeleng kepala.
Aku dan Hizwan hanya tersenyum sumbing. Ala, apa salahnya nak jadi budak-budak? Bukan selalu pun.

***

“Irah, abang laparlah.”
Aku memandang Hizwan yang sedang menekan perut di atas katil.
“Nasi ada lagi kat dapur tu.”
“Tak nak nasi.”
“Habis tu?” Soal aku pelik.
“Nak bubur durian!” Balas Hizwan sambil tersengih. Aku menepuk dahi. Malam-malam buta macam ni nak makan bubur durian. Mentang-mentang ayah ada beli durian tadi.
“Teringin sangat ke?”
Dia mengangguk laju-laju. Aku mula tak sampai hati. Yelah, dah teringin tu! Jadi, aku mula bangkit lalu menuju ke dapur. Hizwan mengekori dari belakang dengan senyuman yang lebar di bibir.
Aku mengeluarkan sebuah Tupperware yang mengandungi ulas-ulas durian yang mak memang sediakan untuk membuat bubur durian. Mula-mula nak buat esok, tapi memandangkan suami aku yang tersayang ni mengidam nak makan malam ni jugak...kenalah buat jugak.
“Ajar abang nak buat bubur durian.” Hizwan mula bergerak dan menghampiri aku yang sedang memasukkan ulas-ulas durian masuk ke dalam periuk.
Kemudian aku mengeluarkan santan yang memang dah siap diperah oleh mak dari dalam peti ais. Semuanya memang dah siap lengkap. Mak memang suka bersedia dari awal.
“Masuk santan dalam periuk ni. Biar tenggelam semua durian tu. Lepas tu masukkan gula, daun pandan yang dah dicarik-carikkan, dan secubit garam.” Ucap aku sambil memasukkan semua bahan tadi.Senang dan mudah saja!
Hizwan mengangguk kepalanya. Kemudian dia mencapai senduk dari tangan aku sambil tersengih.
“Biar abang kacau.”
Aku hanya tersenyum dan duduk di atas kerusi makan. Memerhatikan suamiku yang begitu khusyuk mengacau kuah durian. Suka sangat nampaknya!
Selepas bubur durian dah menggelegak dan dah masak, aku menceduk beberapa senduk bubur durian ke dalam mangkuk. Sebelum aku menghidangkannya kepada Hizwan, aku mengambil roti Gardenia di atas almari. Sedap makan roti dengan bubur durian ni.
“Dah siap. Enjoy your meal. Baca bismillah dulu.” Aku meletakkan mangkuk yang mengandungi bubur durian yang berasap di hadapan Hizwan. Dia hanya tersengih sambil memandangku sebelum tiba-tiba bangkit dari duduknya.
Dia mencari lilin dan menyalakannya terlebih dahulu sebelum menutup lampu dapur. Sambil tersenyum manis, dia duduk di hadapanku sambil meletakkan lilin tadi di tengah-tengah.Macam candle light dinner dah ni!
Thanks sebab buatkan abang bubur durian.” Ucapnya lembut sambil memasukkan secubit roti yang dah dicicah dengan bubur durian ke dalam mulutnya. Mata dia masih merenung aku yang hanya memerhatikan dirinya makan.
“Nak?”
“Tak nak. Kenyang.”
“Sedaplah...”
Aku hanya tergelak kecil. ”Resepi mak...”
“Tak sangka dapat kahwin dengan pemilik Comel.”
“Tak sangka dapat kahwin dengan pemilik Kachak.” Balas aku balik sambil tersenyum.
“Sebenarnya kan, betul tau cakap adik Irah...memang abang sengaja bagi Kachak dating dengan Comel.” Kata Hizwan sambil memasukkan lagi secubit roti ke dalam mulutnya.
“Hahaha..dah agak dah! Tapi Irah tak kisah pun.”
“Kenapa?”
Aku mengenyit mata. ”Sebab kalau Kachak dengan Comel tak dating, kita takdelah berbaik kan? Perancangan Allah memang yang terbaik kan, bang...”
Dia tersenyum sambil mengangguk kepala.
“Insya-Allah, abang akan jaga Irah baik-baik.” Dia mengenggam tangan aku kuat untuk menyakinkan aku.
Aku membalas genggamannya.Di dalam hati aku berdoa, moga jodoh kami kekal sehingga ke akhir hayat.
Kerana Kachak dan Comel, aku temui dia...dan kerana dia, aku temui cinta!

***
Haiwan merupakan salah satu makhluk hidup ciptaan Allah selain manusia. Selain menyebut tentang kisah kehidupan manusia, firman-firman Allah juga menceritakan perihal haiwan.Ini dapat dilihat di dalam Al Quran dengan enam daripada 114 surah dalam al-Quran yang dinamakan sempena nama-nama haiwan seperti surah-surah al-Baqarah (lembu), al-An'am (haiwan ternakan), al-Nahl (lebah), al-Naml (semut), al-Ankabut (labah-labah) dan al-Fil (gajah). Haiwan juga disifatkan oleh Allah sebagai hamba yang taat dan sentiasa bertasbih kepada Allah.
Makhluk Allah iaitu haiwan juga sentiasa taat mengerjakan ibadat dan memuji kebesaran Allah dan Allah sentiasa mengetahui apa yang mereka lakukan [ Surah An Nur: Ayat 41]


           
           
           

           

Photobucket

No comments:

Post a Comment

♥ Thanks for the comments.

Tomodachi :)

...

Daisypath - Personal pictureDaisypath Friendship tickers