Sunday, January 24, 2021

Terima Kasih Cinta Bab 2


Belum diedit. Jemput baca :)

BAB 2

“SAMPAI dah cucu opah.” Opah memeluk aku sebelum disuruhnya duduk di sebelah dia yang sedang memotong bawang. Sepatutnya memang aku nak bertolak ke rumah opah sekali dengan mak tapi si Nadhrah yang pelupa tu tertinggal telefon dengan beg duit dekat rumah. Nak tak nak kenalah aku hantar barang-barang dia ke sekolah dia dulu sebelum bertolak balik. Dahlah lesen, kad pengenalan semua ada dalam beg duit tu. Tak pasal-pasal je kalau ada roadblock nanti.

“Jalan jammed ke tadi?”

“Tak pun, opah. Alhamdulillah tak banyak kereta.”

“Haaa… sampai dah si Dhia.” Mak Long duduk di hadapan aku sambil tersenyum. Aku terus memeluk erat tubuh Mak Long sebelum mencium kedua-dua belah pipinya. Rindu betul nak jumpa Mak Long setelah hampir sebulan tak berjumpa.

Antara semua mak cik aku, aku paling sayang dengan Mak Long sebab dialah yang paling memahami aku. Tak pernah lagi dia bertanya soalan-soalan yang dia tahu akan buat aku meratapi nasib. Sama ada dari soal jodoh ataupun apa-apa sahaja topik yang aku tak suka. Lagipun memang sejak dari kecil aku selalu pergi rumah Mak Long masa mak dan arwah ayah kerja dulu. Jadi banyak masa aku dihabiskan dengan Mak Long dan anak-anak Mak Long. Kerana itulah aku rapat dengan Abang Aariz dan Mariah. 

“Mak Long sihat?” 

“Alhamdulillah sihat. Nad tak datang ke?” Mata Mak Long meliar mencari Nadhrah.

Aku menggeleng. “Nad ada kelas tambahan. Dia kirim salam dekat semua.”

Aku tahu Mak Long teringin nak jadikan Nadhrah tu menantu dia. Dia memang tak pernah cakap dekat aku tapi aku dapat agak sebab Mak Long pernah tanya Nadhrah tu dah berpunya ke belum. Lepas tu siap bagi itu ini setiap kali aku balik sini. Makanan kegemaran Nadhrah la yang paling banyak. Mengalahkan aku yang anak saudara dia pula.

“Mak Long…” Aku merapatkan tubuh badan dengan Mak Long. Sengaja nak buat dia suspens bila tengok aku tersenyum-senyum.

“Kenapa Dhia?”

“Mak Long nak dia jadi menantu Mak Long eh?” Aku kelipkan mata berulang kali. Mak Long hanya ketawa sebelum mengangguk. Mengiyakan apa yang aku rasa selama ni. Kan betul apa yang aku cakap tadi!

“Nak kenenkan dengan Abang Aariz ke?”

Aku memang berkenan sangat kalau Nadhrah tu dengan Abang Aariz. Abang Aariz tu lembut aje orangnya. Cakap pun bersopan. Aku ni pun dilayan macam adik sendiri. Apa yang Mariah dapat, aku pun mesti dapat juga. Tak pernah berkira, sama macam Nadhrah.

“Kamu macam la tak kenal dengan Aariz tu. Tak reti nak bersembang dengan orang perempuan. Dengan kamu je dia okey. Kalau Nad sudi jadi menantu Mak Long, memang Mak Long suka.” 

“Kalau Mak Long nak kenenkan Aariz dengan Nadhrah, Dhia okey je. Lagi suka sebab Nadhrah tu memang sesuai jadi isteri Aariz. Seorang pendiam, seorang suka bercakap.”

Aku rasa tibalah giliran aku nak jadi matchmaker Nadhrah pula. Dia dah pernah jadi matchmaker aku dulu, sekarang ni biarlah aku jadi matchmaker dia pula. Lagipun aku memang suka kalau Nadhrah masuk ke dalam keluarga aku. Banyak dah susah senang dikongsi dengan Nadhrah tu. 

“Nak ke Nadhrah dengan anak Mak Long tu?”

“Hish! Apa pulak tak nak Mak Long… Tak apa, mak long jangan risau. Nanti Dhia tanya Nadhrah.”

Mak Long mengangguk bersetuju. Muka pun nampak bercahaya. Seronok sangat bila aku bersetuju untuk satukan Nadhrah dan Abang Aariz. 

“Eh, Dhia ada rupanya…” Senyuman yang tadinya melebar untuk Mak Long terus hilang apabila mendengar suara nyaring tu. 

Aku buat muka tanpa sedar tapi kembali tersenyum apabila Mak Andak berdiri di hadapan aku. Tangan dihulur untuk bersalaman dengannya dan aku sengaja duduk di belakang Mak Long. Biar jauh sikit dari Mak Andak. 

Bukanlah aku tak sukakan Mak Andak, cuma aku tak berapa suka dengan mulut dia. Mak Andaklah manusia yang paling rajin tanya bila aku nak kahwin walaupun dekat seribu kali aku bagi jawapan yang sama. Penat kadang tu nak menjawab! 

“Mak Andak sihat?”

“Alhamdulillah sihat. Balik seorang je ke?”

Dah mula mukadimah dia! Aku masih lagi cuba untuk tersenyum walaupun aku dah tahu hala arah tuju soalan tu. Tanda ingin memulakan topik yang aku tak suka.

“Seorang je, Mak Andak. Nadhrah ada kelas tambahan.”

“Ingatkan ada bawak calon suami kamu balik.” Mak Andak duduk di sebelah Mak Long. Mengambil pisau untuk memotong bawang yang dah tinggal sikit.

“Dhia belum ada calon lagi.” 

Mak Long mengusap lengan aku. Dia tahu yang aku tak suka bila orang tanya soalan yang sama berulang kali. Kalau aku dah ada calon suami, mestilah aku dah bawa balik jumpa opah. Kalau tak bawa tu, maknanya aku ni belum ada calonlah tu. 

“Dhia tak nak kahwin ke?”

“Jangan asyik bercakap cakap je. Buat kerja tu sekali, Ros.” Opah menegur Mak Andak. Mananya opah tak marah, bawang sebiji tu pun tak habis-habis dikupas dari tadi kerana sibuk berbahas soal aku yang masih lagi belum berjumpa jodoh ni. 

“Ros bukan apa, mak. Ros risaukan Dhia je. Umur dah 30an tahun tapi tak kahwin-kahwin lagi.” Mak Andak tayang muka simpati dekat aku. Sikit pun aku tak faham kenapa Mak Andak perlu buat muka macam tu di depan aku. 

Walaupun aku bujang tapi aku bahagia. Alhamdulillah tak pernah aku tak cukup makan dan tak pernah lagi tak cukup pakai. Mak pun alhamdulillah aku nampak bahagia aje lagi. Tak ada pun nampak sengsara bila tengok aku bujang lagi dan tak berteman. 

“Tak payah risau. Anak kamu si Raihan tu pun belum kahwin. Cari calon untuk dia tu.” Mak Long pula menyampuk. Siap dihalakan pandangan pada Abang Raihan yang sedang menolong Pak Long bakar lemang. Opah kalau buat kenduri memang beria. Siap ada lemang, rendang, ketupat semualah.

“Tak pun, Dhia kahwin dengan Abang Han tu. Apa salahnya kahwin sepupu-sepupu?” Mak Andak memberi cadangan lagi tapi cadangan yang ni langsung buat tubuh aku mengeras. Raut muka yang cuba dimaniskan sejak dari tadi mula berubah masam. Tanda yang aku tak suka dengan apa yang baru diucapkan oleh Mak Andak.

“Dhia tak nak. Abang Han tu dah macam abang Dhia,” ucapku tegas. Menekankan perkataan ‘abang’ supaya Mak Andak faham yang aku tak boleh nak terima Abang Raihan lebih daripada itu. 

Memanglah boleh kahwin sepupu sama sepupu tapi aku membesar sama-sama dengan Abang Raihan tu. Sekali pun aku tak pernah terfikir nak kahwin dengan sepupu sendiri. Bukanlah nak menolak andai dah jodoh tapi kalau boleh dielak, aku memang nak elak. Lagipun Abang Raihan lelaki. Kahwin lambat sikit pun tak apa. Eloklah dia cari sendiri calon yang seuai dengan diri dia daripada kahwin dengan aku yang entah apa-apa ni.

“Memilih sangat kamu ni, Dhia. Apa kurangnya anak Mak Andak tu?” ucap Mak Andak dengan muka tak puas hati bila aku menolak bulat-bulat cadangan dia.

“Tak ada apa yang kurangnya dengan Abang Han tu, Mak Andak. Cuma Dhia memang sayang dia sama macam Dhia sayang Abang Long. Tak lebih daripada tu,” tekanku lagi. Sengaja berulang kali menyebut perkataan abang. Biar melekat masuk dalam kepala Mak Andak.

“Nanti sampailah jodoh Dhia ni. Ros tak payah pening-pening. Betul tak mak?” Mak Long berpaling pada opah sambil menggenggam tangan aku. 

Kalau dibiarkan topik ni berlarutan, aku tak rasa aku boleh duduk lama dekat sini. Tak pasal-pasal aku sembunyikan diri dalam bilik sepanjang hari.

Aku tersenyum suka bila tengok opah mengangguk. Seronok betul ada penyokong kuat macam opah dan Mak Long. Tak adalah terkapai-kapai seorang diri kalau kena jawab soalan-soalan kontroversi Mak Andak.

“Ros bukan apa… Ros nak tengok anak saudara ni ada suami, ada anak. Kak Lia tu mungkinlah tak cakap apa-apa tapi Ros tahu dia mesti nak anak dia kahwin.” 

Dada aku terasa sempit. Tak dapat nak pujuk aku menerima cadangan-cadangan dia, kini Mak Andak nak gunakan mak aku pula sebagai alasan. Seolah-olah dia yang paling memahami apa yang mak aku rasa selama ini. 

Masa itu jugalah muncul mak yang baru lepas mandi. Terus mak duduk di sebelah aku sebelum menyuruh aku menghulurkan pisau. 

“Kak Lia, carikanlah jodoh untuk Dhia ni. Ros tahu Kak Lia nak Dhia kahwin kan?” Mak Andak menepuk lembut paha mak aku. Spontan mak mengalihkan pandangan pada aku yang hanya menunduk. Dah malas nak masuk campur. 

“Malaslah akak nak carikan. Buatnya tak sesuai dengan dia, tak ke payah? Nanti mulalah salahkan akak kalau apa-apa jadi,” balas mak mudah. Memang dari dulu mak tak pernah mendesak anak-anaknya untuk berkahwin. Masa Kak Ngah memperkenalkan Abang Ngah sebelum kahwin dulu pun, mak terima Abang Ngah seadanya. Langsung tak mempertikaikan pilihan Kak Ngah kerana menurut mak, kami adik-beradik dah cukup besar untuk tentukan hidup sendiri.

Sekali aku tersenyum. Tiga lawan satu. Mesti Mak Andak mengalah juga nanti. Melainkan dia jenis tak berputus asa tapi Mak Andak yang aku kenal memang jaranglah nak berputus asa. Ada aje muslihat dia.

Pernah sekali Mak Andak bawa anak Cik Timah jiran belakang rumah opah datang jumpa aku. Dahlah tiba-tiba aje lelaki tu berdiri depan aku dengan muka serba salah. Bila ditanya apa tujuan dia datang jumpa aku, dia hanya angkat bahu. Kemudian bila aku tanya Mak Andak pula,  dengan penuh tenangnya, Mak Andak cakap yang anak Cik Timah tu salah seorang calon yang dia nak kenalkan pada aku. Dahlah anak Cik Timah tu muda lagi. Gaya macam aku terdesak sangat nak bersuami aje!

“Opah, daging dah siap potong ni nak letak mana?”

Zap!

Jantung aku berdegup kencang dan aku terus terkaku. Tangan aku menggigil kuat dan nyaris terlepas pisau dari tangan. Terketar-ketar bibir cuba menahan rasa di hati. Tak mungkin dia! Tak mungkin…

Tapi aku kenal sangat suara tu. Walaupun dah lama aku tak dengar suara dia namun otak aku masih dapat memproses siapa pemilik suara garau itu.  

“Eijaz letak je kat sebelah Dhia tu.”

Aku angkat muka dan memandang opah. Eijaz?

Perlahan-lahan aku berpaling dan memandang lelaki yang bernama Eijaz itu yang dah berdiri di belakang aku. Bila dia menunduk untuk meletakkan besen yang berisi daging itu, mata  kami bertembung lama. 

“Dhia…” Bibirnya menyeru namaku perlahan. Menimbulkan getaran yang tak aku sangka akan muncul kembali tapi sepantas kilat aku tepis jauh.

Dia suami orang, Dhia. 

Dia suami Jannah.

Namun mata seperti menderhaka dengan tuannya. Masih lagi merenung jauh ke dalam sepasang mata yang menenangkan itu.

“Eijaz…” 




“KENAPA tak sembang dengan Eijaz tadi?” Mak Long menegur aku yang sejak dari hanya termenung di atas beranda sambil memerhati kaum lelaki yang sedang memasang khemah dan menyusun kerusi. Pada mulanya aku ingin menolong tapi Abang Long menyuruh aku berehat. Takut aku penat lepas lama memandu tadi. 

“Kenapa nak kena sembang dengan dia, Mak Long?” 

Mak Long mencubit pipi aku sebelum dia turut mengalihkan pandangan pada Eijaz. Berbeza sungguh Eijaz yang dulu dengan yang sekarang. Kalau dulu, badan dia kurus… sekarang ni dah semakin tegap. Kulit dia juga dah makin cerah dan kelihatan sangat bersih tanpa sebarang cela. Mengalahkan kulit aku yang perempuan ni. Jenuh pakai segala macam skincare tapi hasilnya tak sehebat mana.

“Dah lama kan kamu tak jumpa dia…” Senyuman lebar terukir di bibir Mak Long tapi aku hanya mampu tersenyum tawar. Sebab dah lama tak jumpalah, aku tak berani nak cakap apa-apa dengan dia. Lagipun aku segan. Jannah bukannya suka kalau aku rapat sangat dengan Eijaz. 

“Tujuh tahun.” 7 tahun sejak kali terakhir aku jumpa dia. Masa itu dia dah selamat jadi suami Jannah, kawan baik aku sendiri. Dan itulah kali terakhir aku menangis teruk sampai bengkak-bengkak biji mata untuk Eijaz. Dua tiga hari juga baru surut bengkak di mata aku. 

“Dah lama ke dia balik kampung, Mak Long?” soalku ingin tahu memandangkan tak ada sesiapa pun yang beritahu aku Eijaz dah balik Malaysia. Kalau aku tahu, mungkin aku akan cari alasan yang munasabah untuk tak balik kampung.

“Dua hari lepas.”

“Balik dengan isteri dia la kan? Lama betul Dhia tak jumpa Jannah.”

Muka Mak Long berubah sebelum dia menarik nafas panjang. Ditatapnya lama wajah aku dan bila aku tengok air muka Mak Long berubah keruh, hati mula dapat mengesan ada sesuatu yang tak kena.

“Mak Long ingat Dhia tahu…”

Aku terkedu. Tahu apa pula ni? Ada benda penting yang tak sampai ke pengetahuan aku ke?

“Dia dah bercerai dengan Jannah.”

Mata aku terus terbeliak sebelum aku mengalihkan pandangan pada Eijaz yang sedang bergelak ketawa dengan Abang Long di bawah khemah.

“Macam mana dia boleh bercerai dengan Jannah? Dhia ingat dia orang bahagia.” 

“Dah lama dah bercerai. Dah 4 tahun lebih kut kalau tak silap, Mak Long. Jannah pun dah lama balik sini tapi duduk Johor sekarang ni.”

Aku gigit bibir. Macam mana aku boleh tak tahu hal penting macam ni? Mak pun tak ada cerita apa-apa dan aku tahu hubungan mak dan Acik Hana memang sangat rapat. Selalu bertukar cerita dan selalu keluar bersama. Takkanlah mak sengaja nak rahsiakan hal ni daripada aku? 

“Mak tak ada cerita apa-apa pun dekat Dhia.”

“Mak Long rasa mak kamu pun tak tahu. Acik Hana tak bercerita dekat sesiapa pun. Dia kata nak tunggu Eijaz balik Malaysia, baru nak cakap. Hal Jannah tu pun dia tahu sebab mak Jannah yang beritahu. Jannah mana ada nak call Acik Hana kamu tu lepas dia dah bercerai dengan Eijaz.”

Aku tunduk memandang jari-jemari sendiri. Masih lagi terkejut sebenarnya. Macam tak percaya pula yang Eijaz dan Jannah dah bercerai. Bukannya aku tak tahu macam mana sayangnya Eijaz pada Jannah tu. Sanggup kahwin awal dan ikut Jannah belajar luar negara walaupun masa tu kerja Eijaz dah stabil dan dia sangat selesa bekerja di sini tapi demi Jannah, dia korbankan semua itu.

Permohonan regional transfer pun dilakukan tanpa pengetahuan sesiapa termasuklah Acik Hana. Dan bila permohonannya diluluskan, barulah dia bercerita pada semua orang dan yang paling terkejut mestilah Acik Hana. Tak pernah sekalipun Eijaz sebut pasal nak ikut Jannah ke luar negara dan bila Acik Hana bertanya pada aku pun, jawapan aku sama seperti dia. Aku memang tak tahu apa-apa. 

Jenuh juga Acik Hana pujuk Eijaz supaya tunggu sampai Jannah habis belajar sebab tak nak bagi Eijaz pergi sana sekali tapi tak berjaya. Eijaz nak juga kahwin dengan Jannah dan ikut Jannah pergi sana. Lama juga Acik Hana merajuk dengan anak lelaki dia tu tapi dalam merajuk tu pun, semua persiapan perkahwinan Eijaz dia yang uruskan.

“Dhia suka dia lagi ke?” Lembut Mak Long bertanya. Selain daripada keluarga aku, yang tahu perasaan aku pada Eijaz adalah Mak Long. Itu pun secara tak sengaja apabila Mak Long ternampak aku yang sedang menangis dalam rumah masa hari pernikahan Jannah dan Eijaz. Mak Long siap tolong lapkan muka aku yang dah tak rupa orang. Dipujuk aku dengan lembut sehingga air mata aku kering sendiri.

“Dhia tak…” Tak sempat aku nak jawab soalan Mak Long bila tiba-tiba tubuh aku dipeluk oleh seorang kanak-kanak perempuan. Dan mataku tak berkelip memandang sepasang mata yang cantik itu. Sama macam mata Eijaz. 

“Aunty ni Aunty Dhia kan?”

Teragak-agak aku nak mengangguk. Mak Long pula dah tersenyum-senyum sambil menggosok kepala kanak-kanak perempuan berumur lebih kurang lima tahun itu. Nampak macam dia kenal dengan si comel yang masih memeluk aku ni. 

“Maya dah makan?” Mak Long bertanya.

“Dah. Nenek dah bagi makan tadi.” Terserlah lesung pipit di kedua-dua belah pipinya ketika dia senyum. Lama aku perhati wajah Maya ni sehinggalah aku terdengar bunyi deheman di belakang aku. 

“Papa!” Dia berlari mendapatkan ayahnya dan memang betullah apa yang aku teka tadi. Maya tu anak Eijaz dan bila dia mendukung Maya, makin nampak persamaan muka dua beranak tu terutama di bahagian mata. Mata yang sama. Mata yang cantik.

“Maya dah jumpa Aunty Dhia. She’s so pretty.” Maya melentokkan kepalanya di atas bahu Eijaz. Hati aku tersentuh melihat aksi tersebut. Comelnya bila Maya buat macam tu. 

“Comel anak kau,” pujiku ikhlas. Anak yang menjadi bukti cinta Eijaz dan Jannah. Tiba-tiba hati aku terasa pedih pula. Nampak sangat walaupun dah 7 tahun berlalu, Eijaz masih boleh memberi kesan pada hati aku ni. 

Dia memandang aku sebelum tersenyum. 

Thank you.”

Aku mengangguk kecil dan kemudian mengalihkan pandangan pada Mak Long.

“Dhia masuk dulu ye Mak Long. Nak tolong mak…” Sengaja aku bagi alasan untuk masuk ke dalam padahal aku tahu mak dah tertidur di dalam bilik lepas penat bergotong royong tadi. Tak selesa berlama-lama di sini dengan Eijaz dan pandangan matanya itu. Risau aku makin terjatuh dan kali ni dengan status dia, aku takut aku makin berharap. 

“Iyelah.”

Sempat aku cuit pipi Maya yang melambai kecil pada aku. Lambainya aku balas sambil tersenyum.



No comments:

Post a Comment

♥ Thanks for the comments.

Tomodachi :)

...

Daisypath - Personal pictureDaisypath Friendship tickers