Saturday, February 6, 2021

Terima Kasih Cinta Bab 5


BAB 5

“APA ni, Dhia?”

Nadhrah bercekak pinggang di depan aku sambil menilik aku dari atas ke bawah. Kenapa pula nak tengok aku sampai macam tu sekali? Ada yang tak kena ke dengan pakaian di tubuh badan aku sekarang ni?

“Kenapa?” tanya aku pelik.

“Ni birthday party anak saudara kau. Yang kau pergi pakai semua hitam dah kenapa?” Dia tolak tubuh badan aku masuk balik ke dalam bilik. Kemudian dia mula menyelongkar almari aku dan mengeluarkan semua baju aku. Siap diletakkan elok-elok di atas katil dan sesekali Nadhrah menggaru dagunya memerhati setiap baju aku yang dah disusun mengikut warna. Boleh dikatakan hampir 60 peratus berwarna hitam. Dia kemudiannya mula memilih baju yang dirasakan sesuai dengan aku sebelum dia menyuruh aku berdiri. Diletakkan baju-baju tu di depan aku dan akhirnya dia memilih sehelai dress berwarna ungu lembut. 

“Pakai yang ni. Yang ni cantik.”

“Yang aku pakai sekarang ni teruk sangat ke?” Aku belek baju t-shirt yang aku tengah pakai sekarang ni. Tak adalah buruk sangat pun sebab t-shirt ni aku baru beli kut. Lagipun aku lebih selesa pakai macam ni. Senang nak menolong Kak Ngah nanti mengemas selepas jamuan tu nanti. 

“Masalahnya ni birthday party. Kenalah pakai warna-warna ceria sikit. Nanti anak saudara kau ingat kau nak berkabung pulak!” Nadhrah meletakkan dress tadi di atas bahu aku sebelum dia mengeluarkan shawl berwarna ungu gelap yang bercorak abstrak. 

“Anak saudara aku tu dah biasa tengok aku pakai baju warna hitam la.” Aku berura-ura nak letak balik dress tu ke dalam almari tapi dah nama pun Nadhrah, mana maunya dia dengar cakap aku. Cakap dia aje yang betul kalau bab-bab macam ni. Itu pun nasib baik dia tak tawarkan diri untuk mekap muka aku.

“Kau jangan sampai aku pakaikan baju ni kat kau!”

“Hish, tak payahlah pakai beria sangat.”

“Beria apanya? Bukannya aku suruh pakai baju kebaya?”

“Ni kau kata tak beria?” Aku angkat dress tadi di depan muka Nadhrah. Memanglah dress tu tak over pun tapi aku ni jarang nak pakai baju-baju macam ni. Dah terbiasa berbaju t-shirt ataupun blouse untuk ke mana-mana sahaja. 

“Apa salahnya sekali lagi kau pakai baju yang macam ni. Dah beli takkan nak biar tergantung je macam tu. Baik kau tak payah beli kalau nak membazir macam tu.”

Aku menjeling Nadhrah tapi betul juga cakap dia. Takkanlah dah beli tapi nak biar tergantung aje dalam almari.

“Aku malas nak gosok shawl ni.”

“Tak apa, biar aku yang gosok!” Nadhrah laju aje mengambil shawl aku sebelum dia berlari keluar. Berkerut-kerut juga aku tengok semangat dia yang lain macam sangat ni. Ada apa-apa akan berlaku yang aku tak tahu ke?




“NAD! Janganlah laju sangat!” Aku memeluk kuat kotak kek yang nyaris-nyaris terlambung tadi. Ingatkan bila suruh Nadhrah yang bawa kereta, kek untuk Qaseh ni akan selamat tapi nampaknya lebih kurang sama aje dengan aku yang bawa. Selalunya elok berhemah dan bersopan santun aje si Nadhrah ni bawa kereta tapi hari ni mengalahkan nak pergi bertanding Formula One. 

“Kita dah lambat!” Matanya mengerling jam di dashboard. “... tengoklah dah pukul berapa.”

Kini giliran aku pula memandang jam di dashboard. Tak adalah lambat sangat pun sebenarnya. Majlis bermula dalam pukul 3.00 petang dan sekarang ni baru 2.30 petang. Kalau aku tahu Nadhrah punya kalut sampai macam ni, baik aku ajak dia bertolak awal lepas tu solat aje dekat rumah rumah Kak Ngah. 

“Yang kau nak laju-laju sangat ni kenapa?”

Dia hanya tersengih penuh makna tanpa menjawab soalan aku. 

“Nad…” Meleret suara aku memanggil nama dia. Tolong jangan cakap dia dah buat sesuatu tanpa pengetahuan aku sebab Nadhrah ni bukan boleh dipercayai sangat. Ada sahaja benda pelik yang dia suka buat dan selalunya akan melibatkan aku. Itu yang aku buat aku selalu buruk sangka dengan dia bila dia dah mula tersengih macam tu. 

“Tak ada apalah. You just wait and see.” Sekali dia lagi tersenyum penuh makna. Pegangan di kotak kek aku kemaskan. Entah kenapa jantung aku dah mula berdebar-debar sekarang ni dan tidak semena-mena, tekak aku mengering. Mulalah aku rasa nak patah balik rumah aje sekarang ni. Takut dengan apa yang menanti aku dekat rumah Kak Ngah.

“Kau jangan buat kerja gila, Nad. Aku tak nak kawan dengan kau nanti!”

Nadhrah hanya ketawa. Langsung tak terkesan dengan ugutan aku. Semakin serius muka aku sekarang ni, semakin galak pula dia ketawa. Kalau tadi bukan main panik, sekarang ni dia dah lebih bertenang. Kelajuan kereta pun dah kembali normal memandangkan kereta dah masuk kawasan perumahan Kak Ngah.

“Kau akan berterima kasih kat aku nanti.”

“Kenapa pulak?”

“Sebab tu…” Mulutnya dimuncungkan pada rumah Kak Ngah bila keretanya dah selamat diparkir di hadapan rumah berwarna kelabu lembut tersebut.

“Apa dia?” Aku masih tak nampak apa yang dimaksudkan oleh Nadhrah. Meliar mata aku cuba mencari apa yang lain daripada kebiasaan dan mata aku hampir tersembul keluar bila ternampak seseorang yang aku cukup kenal. Walaupun tubuh tegap itu membelakangi aku kerana dia sedang sibuk menolong Abang Ngah menyusun kerusi, aku tetap kenal siapa dia. 

Aku terus berpaling ke arah Nadhrah dengan muka terkejut. 

“Kenapa Eijaz ada kat sini?”

“Akulah yang ajak dia.” Nadhrah tayang muka bangga. Siap ditepuk-tepuk bahunya sendiri seolah-olah dia telah berjaya melakukan sesuatu yang sangat hebat. Hebat apanya kalau aku rasa macam nak hempuk dia sekarang ni!

“Kau bukan ada nombor dia pun!”. 

“Kau lupa ke pasal Abang Aariz?” Nadhrah angkat keningnya berulang kali. Senyuman di bibirnya menambahkan lagi bengang aku pada dia. 

Aku tepuk dahi. Terlupa pula yang Nadhrah ni dah selamat jadi buah hati Abang Aariz. Tak sangka juga aku dalam pemalu-pemalu Abang Aariz tu pun, sempat lagi dia meluahkan perasaan pada Nadhrah tak lama lepas aku beritahu Nadhrah pasal niat Mak Long nak jadikan dia calon isteri Abang Aariz. Dia dah siap bawa Nadhrah jumpa Mak Long lagi! 

“Kau orang ni kan!” Kalau tadi aku sakit hati dengan Nadhrah seorang aje tapi sekarang ni dengan Abang Aariz pun aku rasa nak mengamuk sekali. 

“Apa salahnya kalau dia ada sekali? Bukan ke kau suka bila dia ada sekali?” 

Aku mencebik. Suka tu memang suka tapi sekarang ni aku dalam fasa ingin melupakan Eijaz buat keseribu kalinya. Kalau aku jumpa dia balik, tembok ‘move on’ aku ni boleh runtuh sekelip mata. Tengok aje mata Eijaz yang menenangkan jiwa raga aku tu, sah-sah aku akan jatuh cinta balik! 

“Sampai bila kau nak lari dari dia? Rumah mak dia pun dekat dengan rumah opah kau. Kau ingat senang ke nak lari kalau hidup kau dengan dia dikelilingi orang yang sama?”

Aku senyap. Bukan aku suka-suka nak larikan diri. Percayalah kalau diberi pilihan, aku tak nak pun buat macam ni. Aku sayangkan hubungan persahabatan antara aku dan Eijaz tapi untuk menjaga hati sendiri, aku terpaksa buat semua ni. Aku dah penat nak menyimpan perasaan pada dia dan alau boleh aku nak buang perasaan ni jauh-jauh tapi langkah pertama yang aku perlu ambil adalah menjauhkan diri daripada Eijaz.

“Sekarang ni jom kita masuk. Tu birthday party anak saudara kau, takkan kau nak balik kut?”

Aku hela nafas panjang. Memang taklah aku nak balik. Tak pasal-pasal merajuk satu-satunya anak saudara aku tu. Silap-silap bukan setakat si Qaseh tu aje yang merajuk, dengan Kak Ngah sekali pun merajuk. Jenuh aku nak pujuk dua beranak tu nanti.

“Cepatlah! Lepas makan sikit, kita balik.” Aku buka pintu kereta sebelum menyuruh Nadhrah mengambil hadiah yang dah berbalut cantik dekat kerusi belakang. Sempat aku jeling tajam pada Nadhrah yang dah tersengih-sengih. Suka sangatlah dapat kenakan aku. Patutlah beria suruh aku tukar baju, rupanya dah ada niat lain.

Teruk betul!




“HI…” Eijaz menegur aku yang sedang mengisi pinggan dengan buah-buahan. Ingatkan berjayalah aku elakkan diri daripada dia bila tengok dia sedang khusyuk berbual dengan Abang Long tadi. Mula-mula aku nak suruh Nadhrah tolong ambilkan makanan tapi awal-awal lagi dia dah buat sibuk bersembang dengan kawan-kawan Kak Ngah. Sengaja tak nak tolong aku sebab dia tahu aku takut bertembung dengan Eijaz. 

“Hi…” Aku ukir senyuman kecil sebelum mengambil sepotong buah tembikai. “Maya tak datang?” soalku cuba berlagak tenang padahal jantung ni dah macam nak terkeluar. Nak-nak bila tercium haruman minyak wangi Eijaz yang menandakan kedudukan dia yang agak dekat dengan aku sekarang ni dan membuatkan bulu roma aku menaik. Terus aku menjarakkan tubuh badan dan pergi ke arah yang bertentangan pula.

Eijaz menggeleng. “Dia ada kat rumah mama.”

“Ohh…” 

“Kau tengah larikan diri daripada aku ke, Dhia?”

Tangan aku yang baru berura-ura nak ambil kuih keria terus terhenti. Aku dapat rasa muka aku dah mula pucat lesi. Nampak sangat ke aku cuba nak larikan diri? 

Perlahan-lahan aku pandang dia yang sedang merenung aku tajam. Hanyut seketika sebelum aku kembali tersedar. Beristighfar di dalam hati kerana membiarkan diri sendiri hanyut dalam lautan mata yang menenangkan itu.

“Taklah. Mana ada…” 

“Nampak macam ya.” Dia mula berpeluk tubuh sambil menyandarkan tubuh tegapnya di dinding. 

“Perasaan kau je tu.” Aku buat-buat ketawa walaupun kedengaran hambar. 

“Aku bukan baru kenal kau, Dhia.”

Mata mengerling dia sekilas sebelum aku menarik nafas panjang.

“Aku bukan Dhia yang dulu. Dhia yang kau kenal dulu dah berubah.”

Dia hanya diam dan bila aku alihkan pandangan pada dia, dia masih lagi merenung aku tajam. Aku cuma melawan tapi akhirnya aku kalah dan bila aku larikan pandangan mata aku, dia terus tersenyum sinis. 

“Mata tu tak boleh nak menipu, Dhia.”

“Aku tak tipulah, Eijaz. Buat apa aku nak larikan diri pun? Bukannya ada apa-apa jadi sampai aku nak elakkan diri dari kau. Aku…” Baru aku nak sambung ayat yang seterusnya, tiba-tiba Nurin, cucu sulung Mak Long menarik tangan aku sambil menunjuk ke arah Kak Ngah yang dah menggamit aku supaya menghampirinya.

“Cik Lia suruh Cik Ya bagi kek.”

Aku sempat kerling Eijaz sebelum meletakkan pinggan yang berisi semua makanan yang aku ambil tadi di atas meja. Syukur juga bila Kak Ngah panggil aku. Sekurang-kurangnya aku dapat lari dari berdepan dengan Eijaz. Biarlah orang kata aku larikan diri dari masalah pun. Yang penting aku tak perlu nak jawab soalan-soalan berbisa dari Eijaz lagi.

You still owe me an explanation, Dhia.” Eijaz menghampiri aku dan dia mengambil pinggan aku tadi. Dibawanya masuk ke dalam rumah tanpa mempedulikan mata aku yang dah membulat.

Suka hatinya ambil makanan aku!

p/s: Scribble Media ada buat promosi sepanjang bulan Februari ni. Klik je link ni :)

Shopee Scribble Media

No comments:

Post a Comment

♥ Thanks for the comments.

Tomodachi :)

...